Khamis, 5 Disember 2019 | 1:26pm
DATUK Seri Anwar Ibrahim. - Foto Zulfadhli Zulkifli
DATUK Seri Anwar Ibrahim. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Anwar nafi dakwaan, buat laporan polis

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan seorang individu yang kononnya diperlakukan secara tidak senonoh oleh Presiden PKR itu pada 2 Oktober tahun lalu.

Menyifatkannya sebagai fitnah tidak berasas, Anwar menyatakan sudah menerima laporan individu bernama Muhammed Yusoff Rawther melalui media massa dan media sosial.

“Pada tarikh yang didakwa, saya sedang giat menjalankan kempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson serta menghadiri Majlis Memperingati Ulang Tahun Kelahiran Mahatma Gandhi ke-150 di Kuala Lumpur dan kembali semula ke Port Dickson untuk memenuhi jadual kempen.

“Setiausaha Sulit saya, Shukri Saad, akan membuat laporan polis berhubung isu yang dibangkitkan dan peguam saya, Ramkarpal Singh juga akan mengutuskan surat tuntutan daripada Muhammed Yusoff Rawther.

“Keluarga Muhammed Yusoff Rawther melalui Mohideen Abdul Kader turut mengeluarkan kenyataan mengutuk tindakan yang dilakukan olehnya selepas lebih setahun kejadian yang didakwa,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, turut menyifatkan tindakan itu sebagai muslihat menjatuhkan imejnya menjelang Kongres Nasional PKR ke-14 dan proses peralihan kuasa pimpinan negara.

Difahamkan, Shukri akan membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, tengah hari ini.

Berita Harian X