Khamis, 5 Disember 2019 | 1:36pm

SSPN catat peningkatan keuntungan pelaburan

KUALA LUMPUR: Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) memperoleh keuntungan pelaburan terkumpul sebanyak RM151.5 juta setakat suku ketiga tahun ini, peningkatan sebanyak 25.9 peratus berbanding RM120.33 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Sehubungan itu, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menjangka mampu mengekal atau meningkatkan kadar pembayaran dividen kepada lebih 4.26 juta pemilik akaun SSPN bagi tahun ini.

Bagi 2018, PTPTN mengagihkan dividen SSPN pada kadar empat peratus kepada 3.52 juta akaun membabitkan peruntukan berjumlah RM118.61 juta.

Dalam satu kenyataan hari ini, PTPTN memaklumkan, pencapaian SSPN bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini menyaksikan jumlah deposit meningkat kepada RM581.83 juta berbanding RM486.92 juta bagi tempoh sama 2018.

“Angka ini menunjukkan peningkatan sebanyak RM94.91 juta atau 19.5 peratus, sekali gus menjadikan deposit SSPN terkumpul keseluruhan sehingga September 2019 berjumlah RM4.65 bilion.

“Berikutan itu, PTPTN mengunjurkan jumlah deposit bagi 2019 adalah sebanyak RM1.3 bilion berbanding RM1.13 bilion pada 2018, iaitu peningkatan sebanyak 15 peratus,” kata perbadanan berkenaan.

Unjuran itu berasaskan pencapaian positif yang dipacu menerusi langkah berterusan promosi galakan penabungan sepanjang tahun di seluruh negara seperti program Jelajah SSPN, Minggu Menabung dan Gerak Gempur Skim Simpanan (2G2S).

Ia juga disumbangkan oleh kenaikan jumlah insentif pelepasan cukai daripada RM6,000 kepada RM8,000 seperti diumumkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menerusi Belanjawan 2019.

“Selaras hasrat kerajaan untuk memastikan simpanan dalam SSPN sentiasa terjamin dan dilindungi, PTPTN mengamalkan kaedah pelaburan patuh syariah jangka pendek dan panjang di pasaran wang tempatan yang melindungi prinsipal, di samping memberi pulangan atau keuntungan tinggi dan positif.

“Pemantapan strategi pelaburan dengan menumpukan kepada simpanan tetap jangka panjang berjaya mengurangkan tekanan daripada pasaran ekuiti yang tidak menentu di peringkat global,” katanya.

SSPN adalah instrumen simpanan dijamin sepenuhnya oleh kerajaan serta produk patuh syariah yang menggunakan konsep ‘Wakalah Bil Istithmar’ yang menawarkan pelbagai keistimewaan lain seperti geran sepadan dan perlindungan takaful.

“Dengan pelbagai keistimewaan dan insentif ditawarkan serta kesedaran masyarakat mengenai penabungan bagi tujuan pendidikan, sehingga 30 September lalu, sebanyak 347,709 akaun baharu SSPN telah dibuka dan dijangka terus meningkat sehingga hujung tahun ini.

“Secara keseluruhan, sehingga akhir suku ketiga 2019, sebanyak 4.26 juta akaun SSPN telah dibuka sejak dilancarkan pada 2014,” kata perbadanan itu.

Berita Harian X