Jumaat, 6 Disember 2019 | 12:56pm
KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya (tengah) diiringi Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap (kiri) ketika hadir pada majlis perasamian Kempen Pencegahan Rasuah sempadan Malaysia-Thailand di Pejabat Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS). NSTP/Amran Hamid

Kedah negeri pertama tempatkan pegawai kanan SPRM di pejabat MB

BUKIT KAYU HITAM: Kedah menjadi negeri pertama yang bakal menempatkan seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di pejabat Menteri Besar sebagai salah satu langkah bagi mencegah aktiviti rasuah serta meningkatkan integriti dalam kalangan penjawat awam.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, berkata pihaknya sedang memperhalusi maklumat pegawai kanan yang bakal ditempatkan dalam tempoh terdekat.

“Terima kasih kepada kerajaan negeri yang menerima baik cadangan SPRM dan bersetuju untuk meletakkan pegawai integriti berpangkat kanan dalam pejabat menteri besar.

“Sebelum ini kita ada pegawai integriti peringkat kerajaan negeri sahaja, tetapi kini kita bercadang untuk menambah peranan SPRM menerusi penugasan pegawai kanan.

“Dalam pertemuan bersama Datuk Seri Mukhriz Mahathir semalam, beliau bersetuju dan secara prinsip sudah membuat pengumuman mengenainya,” katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas pelancaran Kempen Pencegahan Rasuah Sempadan Malaysia-Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan keselamatan (ICQS) di sini.

Semalam, Mukhriz mengumumkan kerajaan negeri bersetuju untuk untuk menempatkan seorang pegawai kanan SPRM di pejabatnya sebagai usaha pencegahan aktiviti rasuah dan menjaga integriti.

Mengulas lanjut, Latheefa berkata, pihaknya sudah mengesyorkan cadangan itu kepada semua kerajaan negeri.

“Respons yang diterima agak positif, namun setakat ini, kerajaan negeri belum memuktamadkan sebarang keputusan berhubung cadangan itu,” katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas berhubung kekhilafan SPRM yang menghantar surat cadangan tatatertib berhubung salah laku dua ahli PKR, Latheefa berkata isu itu sudah diulas.

“Isu itu sudah diulas sebelum ini dan kami tidak mahu komen,” katanya.

Dalam perkembangan lain, berhubung 62 Ahli Parlimen pembangkang termasuk Bebas yang masih tidak mengisytiharkan harta Latheefa memaklumkan ia perlu dirujuk kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Berita Harian X