Jumaat, 6 Disember 2019 | 3:25pm
PENGERUSI BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO Ke-73, di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Eizairi Shamsudin

BN tolak IPCMC elak kebajikan polis diganggu

KUALA LUMPUR: Pendirian blok pembangkang diwakili Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), PAS dan Bebas menolak penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) berikutan tidak mahu kebajikan anggota polis di negara ini diabaikan.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata terbaru tindakan sesetengah pihak juga termasuk dalam perkembangan berkaitan isu Chin Peng dan Parti Komunis Malaysia (PKM), seolah-olah menidakkan sumbangan anggota polis yang berjuang menentang pengganas komunis.

Beliau berkata, penganjuran erti sambutan ulang tahun PKM dan usaha membawa abu mayat ketua pengganas komunis, Chin Peng, ke Malaysia pada September lalu, bukan hanya menghiris perasaan polis dan pesara pasukan keselamatan itu, tetapi rakyat secara keseluruhan.

“Kita menentang kedua-dua perbuatan ini yang dianggap menghina ketetapan serta pendirian kerajaan yang mengharamkan PKM,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO Ke-73, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, lebih malang ada pihak yang cuba menukarkan sejarah dengan menganggap komunis sebagai pejuang kemerdekaan, yang jelas mengguris hati anggota keselamatan terutama polis dan tentera yang berjuang menentang pengganas berkenaan.

Katanya, tindakan kumpulan itu bukan saja menghina rakyat tetapi menjurus ke arah pengiktirafan semula PKM dan ia paling dirasai kaum keluarga mangsa kekejaman PKM, termasuk lebih 10,000 anggota pasukan keselamatan yang berjuang mempertahankan negara daripada ideologi itu.

Mengingati peristiwa itu, beliau berkata, ramai anggota keselamatan dibunuh kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Katanya, ada yang dibakar hidup-hidup, wanita mengandung dirobek perut mereka hingga terburai, ada mangsa berkecai kepala ditembak, rumah dibakar bersama penghuninya dan pelbagai kekejaman.

“Inikah yang mereka agung-agungkan, malah komunislah yang membunuh Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Rahman Hashim dan Ketua Polis Perak, Tan Sri Khoo Chong Kong,” katanya.

Berita Harian X