Jumaat, 6 Disember 2019 | 11:56pm
Dr Ahmad Shukri (dua dari kanan) pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat tahunan PERDIM, di sini, hari ini. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli

RUU Racun: Kementerian Kesihatan digesa bincang dengan pihak berkepentingan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan digesa mengatur perbincangan dengan pihak berkepentingan seperti persatuan yang menaungi pengamal perubatan negara, sebelum merealisasikan Rang Undang-Undang (RUU) Racun (Pindaan) 2019.

Presiden Persatuan Doktor Islam Malaysia (PERDIM), Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail, berkata penangguhan bacaan RUU itu di Parlimen ke tahun depan, adalah keputusan amat baik tetapi kementerian harus memastikan ada perbincangan daripada semua pihak sebelum ia disambung semula.

Beliau berkata, bacaan RUU di Parlimen, minggu lalu, cukup mengejutkan persatuan dan pengamal perubatan kerana ia bukan saja tidak dibincangkan terlebih dahulu, malah isi kandungan dianggap tidak memberi kelebihan kepada doktor serta pesakit negara.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Menteri kerana menangguhkan bacaan kedua RUU Racun, semalam, memandangkan ia jelas mendapat tentangan daripada pelbagai pihak kecuali mereka yang mendapat manfaat.

“Bagaimanapun, kami berharap pihak kementerian dan Menteri mengadakan perbincangan dengan pemegang taruh atau pihak berkepentingan dulu sebelum bacaan RUU ini diadakan semula pada tahun depan. Ini bagi memastikan pihak Menteri mengetahui situasi sebenar dan implikasi jika RUU ini diteruskan.

“Sebelum ini, kami hanya pernah berbincang sekali dengan kementerian tetapi ia bertujuan untuk perbentangan RUU Farmasi pada 2015 dan itupun terus dibawa ke Parlimen. RUU Racun ini adalah sebahagian daripada RUU Farmasi yang masih belum dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat tahunan PERDIM, di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, menerusi Peraturan Mesyuarat 62 memohon penangguhan bacaan kedua dan ketiga RUU Racun (Pindaan) 2019.

RUU Racun (Pindaan) 2019 dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada 25 November lalu, antara lain memperkenalkan peruntukan baharu mewajibkan pengamal perubatan berdaftar untuk mengeluarkan preskripsi jika diminta pesakit.

Mengulas lanjut, Dr Ahmad Shukri berkata, PERDIM juga bimbang pembentangan RUU Racun diatur secara ‘pintu belakang’ untuk memberi keuntungan kepada pihak tertentu, justeru perbincangan bersama menteri harus diatur segera.

Mengulas mengenai hukuman penjara lima tahun dan denda maksimum RM5,000 terhadap pengamal perubatan yang menolak memberikan preskripsi seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 19 Subseksyen (4), Dr Ahmad Shukri menyifatkan ia sama sekali tidak wajar memandangkan tugas doktor memeriksa dan merawat pesakit mengikut etika kedoktoran dan bukan mahu menjadi penjenayah.

“Ada seksyen dalam RUU Racun yang tidak memberi keadilan kepada pengamal perubatan, antaranya Seksyen 19 Subseksyen (4), Seksyen 21 (2A), Seksyen 31 (A), (2) (5), 8(A) dan Seksyen 34 serta Seksyen 34 (A),” dakwanya.

Berita Harian X