Sabtu, 7 Disember 2019 | 5:02pm
NAIB Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin. NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali.

Program di Kuala Lumpur malam esok bukan satu lagi Kongres PKR - Zuraida

AYER KEROH: Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin mengesahkan satu program makan malam akan diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur, malam esok.

Ia adalah hotel sama di mana kumpulan yang dikaitkan dengan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini merancang mengadakan himpunan berasingan serentak Kongres Nasional PKR yang berlangsung di Melaka.

Zuraida bagaimanapun menegaskan, program itu bukan satu lagi Kongres PKR, sebaliknya majlis makan malam Wawasan Kemakmuran Bersama di bawah Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Beliau turut mengesahkan beberapa pemimpin PKR akan menghadiri program itu, antaranya Naib Presiden, Ali Biju; Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), R Sivarasa dan Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Hilman Idham.

“Ya, kita akan anjurkan majlis makan malam Wawasan Kemakmuran Bersama di bawah Mohamed Azmin. Ia bukan (Kongres PKR), ia makan malam Wawasan Kemakmuran Bersama. Saya rasa (maklumat mengatakan ia Kongres PKR) adalah salah.

“Kita akan ke sana (selepas selesai Kongres Nasional PKR di Melaka esok),” katanya yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan ketika ditemui pemberita di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai penyebaran jemputan ke Majlis Makan Malam Apresiasi Perwakilan Kongres PKR di sebuah hotel di Kuala Lumpur, bermula jam 6.30 petang hingga 10 malam esok.

Dalam jemputan itu, beberapa nama disenaraikan untuk memberi ucapan, antaranya Mohamed Azmin, Sivarasa, Ali, Tian Chua, Zuraida, Muhammad Hilman dan Ketua Wanita PKR, Haniza Mohamad Talha.

Sementara itu, Tian Chua turut menegaskan, majlis malam esok hanyalah untuk ‘menghantar pulang’ perwakilan parti yang hadir Kongres Nasional PKR di Melaka.

“Esok perwakilan yang datang akan berkumpul dulu di Kuala Lumpur untuk kita hantar pulang,” katanya yang juga mengesahkan akan hadir ke majlis berkenaan.

Berita Harian X