Sabtu, 7 Disember 2019 | 9:19pm
YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan Anugerah Canselor kepada Graduan Ijazah Pentadbiran Perniagaan (MBA) Amir Suhaimi Hassan pada Majlis Konvokesyen keenam DRB-Hicom University of Automotive Malaysia. - Foto BERNAMA
YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan Anugerah Canselor kepada Graduan Ijazah Pentadbiran Perniagaan (MBA) Amir Suhaimi Hassan pada Majlis Konvokesyen keenam DRB-Hicom University of Automotive Malaysia. - Foto BERNAMA

Pengorbanan isteri cetus kejayaan suami

PEKAN: Demi melihat kejayaan suami menggenggam segulung ijazah sarjana, Rahimah Yasin, 48, sanggup menggalas tugas suaminya, Amir Suhaimi Hassan, 49, sebagai bapa.

Sokongan daripada Rahimah selama dua tahun, membuahkan hasil apabila Amir Suhaimi dianugerahkan Anugerah Canselor pada Majlis Konvokesyen ke-6 DRB-HICOM University of Automotive Malaysia di sini, hari ini.

Berbekalkan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.97 meletakkan graduan Sarjana Pentadbiran Perniagaan ini cemerlang dalam akademik dan ko-kurikulum.

Menganggap pencapaian yang diperoleh adalah hasil sokongan daripada isteri dan rakan sekerja, memberi keyakinan kepada Ketua Pegawai Operasi (COO) Pos Digicert Sdn Bhd, untuk menumpukan perhatian kepada pengajiannya.

“Isteri sanggup ambil tugas sebagai ayah kepada anak-anak kami ketika saya sibuk dengan pengajian. Sistem sokongan sangat penting dan sesibuk mana pun, akan ada masa tambahan untuk saya fokus kepada pengajian.

“Sokongan daripada syarikat yang memberikan saya cuti sehari setiap minggu bagi menghadiri kelas amat bermakna. Saya juga melalui proses yang sama seperti pelajar lain bermula dengan kelulusan diploma dan ijazah,” katanya yang ditemui pada sidang media selepas Majlis Konvokesyen ke-6 DRB-HICOM University of Automotive Malaysia.

Amir Suhaimi berkata, hasratnya menyambung pengajian peringkat sarjana pada tahun 1995 di luar negara terbantut, ekoran masalah ekonomi ketika itu.

Namun, dorongan isteri terhadap tawaran yang diterima, membangkitkan semangat bapa kepada enam cahaya mata berusia antara 10 dan 21 tahun ini untuk menyambung semula pengajiannya.

“Selepas 20 tahun, bila ada peluang dan tawaran daripada majikan, satu isyarat untuk saya sambung belajar semula.

“Apabila saya sambung belajar dan memperoleh pencapaian yang baik ini, isteri saya cakap ia menjadi penanda aras dan inspirasi kepada anak-anak kami,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor DRB-HICOM University of Automotive Malaysia, Profesor Datuk Sr Dr Omar Osman, berkata universiti itu sudah memulakan kelas secara maya tanpa kehadiran pelajar tahun ini, membabitkan 20 orang pelajar antaranya pengusaha bengkel kenderaan.

Katanya, pengajian secara maya terbabit memberi peluang kepada orang ramai untuk menyambung pengajian tanpa perlu meninggalkan kerjaya mereka dan mengikut waktu yang fleksibel.

“Tetapi, bukanlah seratus peratus secara maya kerana mereka juga perlu menghadiri kelas sehari dalam seminggu. Kita ada membangunkan perisian dan program yang sesuai untuk mereka ikuti.

“Ramai yang ingin belajar, tetapi tidak ada keupayaan dari segi masa dan kita cuba memudahkan mereka. Kelayakan sama seperti kemasukan pelajar biasa mengikut kelulusan mereka,” katanya.

Omar berkata, pihaknya turut menjalinkan kerjasama dengan Universiti Brunei bagi mengikuti kelas secara maya dan sebanyak tiga pengambilan dilakukan dalam setahun berdasarkan perkiraan semester.

Tamat

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X