Ahad, 8 Disember 2019 | 3:01pm
DEKAN Fakulti Pendidikan UKM, Prof Datuk Dr Norazah Mohd Nordin bergambar bersama orang ramai pada Program Payung Inklusif 2019 anjuran Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), hari ini. - Foto Azhar Ramli
DEKAN Fakulti Pendidikan UKM, Prof Datuk Dr Norazah Mohd Nordin bergambar bersama orang ramai pada Program Payung Inklusif 2019 anjuran Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), hari ini. - Foto Azhar Ramli

Kerajaan disyor wajibkan pendaftaran OKU

BANGI: Kerajaan disyorkan supaya mengoptimumkan penguatkuasaan Akta Kanak-Kanak 2001 dalam mewajibkan ibu bapa untuk mendaftarkan anak mereka yang tergolong sebagai orang kelainan upaya (OKU).

Ini kerana, kebanyakan kanak-kanak OKU didapati gagal berdaftar, sekali gus menyebabkan masalah keciciran terhadap pelbagai kemudahan disediakan kerajaan.

Anggota Majlis Kebangsaan bagi OKU, Dr Ruziah Ghazali, berkata syor berkenaan sudah pun dimaklumkan kepada kerajaan dengan ia diharap dapat dilaksanakan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

Beliau yang juga Penasihat Kehormat Pertubuhan Kebangsaan Orang Kerdil (PKOKM) berkata, jumlah OKU berdaftar didapati masih rendah berbanding peratusan dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

WHO dalam perangkaannya menjelaskan, antara 10 hingga 15 peratus daripada keseluruhan rakyat di sesebuah negara tergolong sebagai OKU.

“Malaysia ketika ini hanya merekodkan seramai 549,554 pendaftaran, iaitu 1.7 peratus, sehingga 30 Jun lalu. Ini kerana, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum ini tidak mewajibkan OKU berdaftar dengan mereka.

“Masih ramai OKU gagal berdaftar dan ini menyebabkan mereka gagal mendapatkan hak untuk kebolehcapaian bagi pendidikan dan kesihatan,” katanya ketika ditemui pada Program Payung Inklusif 2019 anjuran Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), hari ini.

Yang turut hadir, Dekan Fakulti Pendidikan UKM, Prof Datuk Dr Norazah Mohd Nordin dan pereka Tangan Prostetik Cetakan tiga dimensi (3D), Sujana Mohd Rejab.

Ruziah berkata, pihaknya menyasarkan pendaftaran OKU sekurang-kurangnya 10 peratus daripada keseluruhan jumlah rakyat, jika syor berkenaan dilaksanakan nanti.

“Kalau tengok perbezaan, sekarang (pendaftaran OKU) semakin tinggi. Kira-kira 400,000 OKU didaftarkan susulan pengenalan Akta OKU 2008, antara 2008 ke 2018.

“Bagaimanapun, jumlah ini meningkat secara drastik kepada 549,554 dari 2018 hingga Jun lalu. Ini menunjukkan masyarakat sudah mula sedar mengenai kepentingan mendaftarkan golongan OKU,” katanya.

Berita Harian X