Ahad, 8 Disember 2019 | 5:58pm
MENTERI Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi hadir pada majlis perasmian International Muslim Friendly Carnival (IMFC) 2019 di Semporna, malam tadi. - Foto Abdul Rahemang Taiming
MENTERI Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi hadir pada majlis perasmian International Muslim Friendly Carnival (IMFC) 2019 di Semporna, malam tadi. - Foto Abdul Rahemang Taiming

Sektor pelancongan halal, mesra Muslim berpotensi besar

SEMPORNA: Malaysia perlu lebih ke hadapan dan mengambil peluang dalam membangunkan konsep pelancongan mesra Muslim, termasuk di Sabah.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi, berkata potensi sektor pelancongan halal serta mesra Muslim cukup besar, terutama dalam memacu pembangunan ekonomi dan sosial.

Beliau berkata, ia juga boleh menjadi ‘game changer’ untuk industri pelancongan dunia, di samping mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan bagi penduduk setempat.

“Justeru, saya amat yakin misi realistik membawa masuk 30 juta pelancong dengan penjanaan pendapatan mencecah RM100 bilion sempena Tahun Melawat Malaysia 2020, akan dapat dicapai,” katanya ketika berucap merasmikan International Muslim Friendly Carnival (IMFC) 2019, di sini, malam tadi.

Malah menyedari perkembangan itu, beliau berkata, negara bukan anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) seperti United Kingdom, Korea Selatan dan Jepun, juga dilihat sedang rancak membangunkan perkhidmatan serta kemudahan mesra Muslim.

“Ini termasuk menawarkan restoran makanan halal untuk menarik lebih ramai pelancong beragama Islam melawat negara mereka. Justeru, Malaysia patut berbangga dan perlu menggandakan usaha ke arah itu,” katanya.

Mohamaddin berkata, laporan Mastercard-CrescentRating Global Muslim Travel Index menunjukkan Malaysia menduduki tangga pertama selama sembilan tahun berturut-turut sebagai destinasi pelancongan halal utama dunia.

Dalam pada itu, beliau berkata, Sabah berpotensi menjadi destinasi pelancongan yang unggul kerana memiliki pelbagai keindahan alam semula jadi.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X