Ahad, 8 Disember 2019 | 6:03pm
AFZAM Mustafa (kanan) dan Mohammad Syafiizwan, johan Kategori Tilawah Lelaki dan Wanita sempena majlis Tilawah Al- Quran Braille (MTQB) 2019 di Flamingo Hotel. - Foto NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

'Buta mata, terang hati'

KUALA LUMPUR: Kekurangan sebagai orang kelainan upaya (OKU) dijadikan pembakar semangat oleh seorang anak muda mendalami kandungan al-Quran hingga dinobatkan juara Tilawah al-Quran Braille kategori lelaki.

Mohammad Syafiizwan Mohd Suhaini, 19, yang cacat penglihatan sejak lahir, terharu apabila dimaklumkan sebagai pemenang walaupun berdepan saingan ramai peserta lebih berpengalaman.

Katanya, tanggungjawab sebagai bilal Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah Alam memerlukan beliau menguruskan pelbagai perkara dan kurang fokus membuat latihan.

“Mata tidak mampu melihat bukan penghalang mempelajari al-Quran seperti orang normal. Mulanya memang agak sukar dan perlu menggunakan jari untuk membaca setiap baris ayat menerusi al-Quran Braille,” katanya.

Beliau ketika ditemui pemberita selepas Majlis Tilawah Quran Braille (MTQB) Braille anjuran Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) di sini, hari ini.

Anak kelahiran Klang, Selangor itu mula mempelajari al-Quran ketika berusia lapan tahun selepas mendapat sokongan ibu bapa dan guru, selain didorong minat peribadi.

“Ibu dan ayah menyokong saya sepanjang menyertai pertandingan ini, malah mereka banyak melapangkan waktu untuk melihat saya bertanding.

“Walaupun buta, saya tak malu mencuba dan pertandingan ini memartabatkan bakat golongan OKU,” katanya.

Juara kategori wanita, Afzam Mustafa, 39, terkejut apabila diumumkan sebagai pemenang dan membawa pulang wang tunai serta sijil penyertaan.

“Wang tunai ini akan menjadi tabungan menunaikan umrah atau haji.

“Saya sudah lama berhasrat ke Tanah Suci, cuma masanya belum sesuai,” katanya.

Berita Harian X