Ahad, 8 Disember 2019 | 6:26pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Bayi lelaki dijangkiti virus polio, kes pertama selepas 27 tahun

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mengesahkan seorang bayi lelaki berumur tiga bulan dari Tuaran, Sabah, dijangkiti virus polio yang menjadi kes pertama selepas 27 tahun Malaysia bebas daripada penyakit itu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata mangsa didapati mengalami demam diikuti lemah anggota badan, dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi selepas disahkan dijangkiti vaccine-derived poliovirus type 1 (VDPV1), Jumaat lalu.

Beliau berkata, bayi itu kini dirawat di wad isolasi dan berada dalam keadaan stabil, namun masih memerlukan bantuan pernafasan.

“Hasil ujian pengesahan dijalankan Makmal Polio Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Australia, mendapati virus terbabit ada perkaitan genetik dengan virus polio dikesan pada kes Acute Flaccid Paralysis (AFP) di Filipina. VDPV1 ini diklasifikasikan sebagai circulating vaccine-derived poliovirus type 1 (cVDPV1).

“Penyakit ini berasal daripada virus polio yang dilemahkan dalam vaksin diberi secara oral (OPV) sebelum virus dilemahkan ini dikumuhkan oleh badan melalui najis.

“Dalam persekitaran tidak sanitari, ia boleh menjangkiti orang lain yang tiada imuniti terhadap polio dan terus tersebar dalam komuniti yang liputan imunisasi polio kurang daripada 95 peratus,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, semakin lama virus itu tersebar dalam komuniti terbabit, ia mengalami mutasi genetik sehingga menjadi virus yang kembali aktif.

“Virus ini dipanggil vaccine-derived poliovirus (VDPV) dan boleh menyebabkan poliomyelitis. Namun, mereka yang divaksinasi dengan vaksin poliomyelitis, akan mendapat perlindungan daripada jangkitan penyakit itu,” katanya.

Beliau berkata, setakat Khamis lalu, hasil siasatan di kawasan tempat tinggal mangsa, mendapati 23 daripada 199 orang (11.6 peratus) berusia antara dua bulan hingga 15 tahun, tidak menerima vaksin polio.

Katanya, ia satu keadaan yang sangat merunsingkan kerana penularan jangkitan cVDPV hanya boleh ditamatkan dengan imunisasi polio.

“Hasil penerangan mengenai kepentingan imunisasi polio bagi mencegah jangkitan polio, ibu bapa semua kanak-kanak terbabit bersetuju untuk mereka diberikan vaksin polio.

“Aktiviti pencarian kes AFP, proksi kepada poliomyelitis di kawasan tempat tinggal kanak-kanak itu juga dijalankan.

“Hingga Khamis lalu, seramai 646 orang diperiksa dan tiada orang bergejala AFP dikesan. Siasatan masih diteruskan di kawasan terbabit, termasuk pengambilan sampel najis daripada kontak rapat kanak-kanak itu serta sampel persekitaran bagi pengesanan virus polio,” katanya.

Beliau berkata, aktiviti pemberian imunisasi polio akan diteruskan di kawasan tempat tinggal kes dan diperluaskan ke kawasan lain yang berisiko.

“Ia bagi memastikan virus polio yang dikesan ini tidak terus menular di Malaysia dan menyebabkan poliomyelitis dalam kalangan mereka yang tiada imuniti terhadap jangkitan polio,

“Ia bagi memastikan liputan imunisasi polio yang tinggi, iaitu melebihi 95 peratus,” katanya.

Berita Harian X