Isnin, 9 Disember 2019 | 1:21pm
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun (tengah) bergambar kenangan bersama sebahagian 1,000 murid penerima bantuan baucar buku tulis pada Program 'Kembali Ke Sekolah' Peringkat Kebangsaan di Maktab Rendah Sains MARA Langkawi. - Foto Hamzah Osman

43,520 pelajar B40 terima bantuan YPM

LANGKAWI: Seramai 43,520 pelajar daripada keluarga B40 di seluruh negara menerima bantuan baucar buku tulis menerusi program Kembali Ke Sekolah Yayasan Pelajaran Majlis Amanah Rakyat (YPM).

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata lebih RM3.2 juta diperuntukkan bagi menjayakan program itu membabitkan enam lokasi di seluruh negara.

“Pada pelancaran program diadakan di Langkawi hari ini kita memberikan bantuan baucar buku tulis kepada 1,000 pelajar dengan peruntukan berjumlah RM88,0000.

“Baucar untuk pelajar sekolah rendah bernilai RM50, manakala sekolah menengah RM70,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Kembali Ke Sekolah Peringkat Kebangsaan di Maktab Rendah Sains MARA Langkawi di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, Juhari Bulat dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf.

Rina berkata, bantuan itu bagi meringankan beban kewangan keluarga berpendapatan rendah menjelang musim persekolahan 2020 yang bakal tiba.

“Dana bagi menjayakan program ini disalurkan rakan strategik termasuk sektor swasta menerusi YPM sebagai peneraju untuk disampaikan kepada penerima.

“Program seterusnya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; Kuantan, Pahang; Kimanis, Sabah; Pontian, Johor dan Sepang, Selangor,” katanya.

Berita Harian X