Isnin, 9 Disember 2019 | 2:18pm

Virus polio dari luar Sabah - Dzulkefly

PUTRAJAYA: Punca jangkitan virus polio dialami seorang bayi lelaki berumur tiga bulan dari Tuaran, Sabah, disyaki datang dari luar negeri itu, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, hanya ada dua kemungkinan simptom berkenaan berlaku iaitu datang dari Filipina atau keluarga terbabit ke luar negara.

Bagaimanapun, katanya, siasatan awal mendapati keluarga bayi terbabit tidak mempunyai sejarah ke luar negara sebelum ini.

“Setakat ini yang paling munasabah ialah virus polio itu datang dari luar Sabah kerana mereka tidak mempunyai sejarah ke luar negara, jadi mungkin (ia dibawa) oleh orang luar yang datang ke Sabah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Inovasi Kementerian Kesihatan 2019, di sini, hari ini.

Dzulkefly berkata, bayi lelaki terbabit dijangkiti simptom berkenaan sebelum dia menerima suntikan vaksin yang kedua.

“Saya berharap ibu bapa dapat melengkapkan semua tiga dos suntikan vaksin yang disarankan supaya dapat menghindarkan anak masing-masing dijangkiti penyakit seumpama ini.

“Antara langkah yang kita sudah ambil ialah pergi ke kawasan penempatan bayi berkenaan dan memberikan suntikan vaksin kepada mereka yang berumur bawah 15 tahun.

“Selain itu, kita juga akan mengenal pasti kawasan berisiko dijangkiti simptom ini. Setakat ini, hanya suntikan vaksin saja dapat membantu kerana tidak ada ubat untuk menyembuhkan simptom terbabit,” katanya.

Sementara itu, ditanya adakah kementeriannya akan mewajibkan pengambilan vaksin, Dzulkefly berkata, perkara itu hanya akan dilakukan jika ada keperluan.

“Kita akan bincang mengenai perkara itu, jika ada keperluan kita akan lakukan. Sekarang kita hanya pergi ke kawasan orang Asli atau kawasan terpencil untuk memberikan vaksin kepada kanak-kanak di sana,” katanya.

Kementerian Kesihatan semalam mengesahkan seorang bayi lelaki berumur tiga bulan dijangkiti virus polio yang menjadi kes pertama selepas 27 tahun Malaysia bebas daripada penyakit itu.

Mangsa didapati mengalami demam diikuti lemah anggota badan dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi selepas disahkan dijangkiti vaccine-derived poliovirus type 1 (VDPV1), Jumaat lalu.

Di Malaysia, vaksin polio diberikan sejak 1972. Program imunisasi polio berjaya membasmi kes polio di Malaysia dengan kes terakhir dikesan pada 1992 dan Malaysia diisytiharkan negara bebas polio ada 2000.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyampaikan ucapan pada Sambutan Hari Inovasi Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto BERNAMA
Berita Harian X