Rabu, 11 Disember 2019 | 11:30am

Polio: 75 peratus tidak tunjuk gejala jangkitan

KUALA LUMPUR: Hampir 75 peratus daripada individu dijangkiti virus polio, tidak menunjukkan sebarang tanda gejala berkenaan, kata Pakar Perunding Perubatan Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan, Dr Rohani Jahis.

Beliau berkata, sebaliknya hanya seorang daripada empat orang dengan jangkitan virus polio, akan menunjukkan gejala kebiasaannya seperti demam selesema.

“Hanya 0.5 peratus individu yang dijangkiti virus ini mengalami kelumpuhan. Maksudnya, tidak semua orang lumpuh.

“Namun apabila kita dijangkiti virus ini, ia (virus) tetap akan dikeluarkan dalam najis. Justeru, risiko untuk menjangkiti orang lain itu ada apabila ia (virus) dikeluarkan dalam persekitaran,” katanya ketika menjadi tetamu Ruang Bicara: Bahaya Polio di Bernama TV, semalam.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan mengesahkan seorang bayi lelaki berumur tiga bulan dari Tuaran, Sabah, dijangkiti virus polio yang menjadi kes pertama selepas 27 tahun Malaysia bebas daripada penyakit itu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, dilaporkan berkata mangsa didapati mengalami demam diikuti lemah anggota badan serta dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi selepas disahkan dijangkiti vaccine-derived poliovirus type 1 (VDPV1), Jumaat lalu.

Dr Rohani berkata, virus polio sebenarnya belum ‘dibasmi’ di dunia dan ketika ini, ada tiga lagi negara yang masih endemik dengan virus berkenaan, iaitu Nigeria, Afghanistan serta Pakistan.

“Justeru, kemungkinan (virus) datang daripada negara lain boleh berlaku, sekiranya kanak-kanak atau penduduk di negara ini tidak dilindungi dengan vaksin (pelalian), risiko untuk mendapat jangkitan itu ada,” katanya.

Katanya, jika seseorang dijangkiti virus polio, tiada rawatan khusus untuk membunuh virus itu, sebaliknya rawatan adalah bersifat ‘supportive’ seperti ubat demam (sekiranya demam) dan fisioterapi sekiranya mengalami kelumpuhan kaki.

Beliau menegaskan, langkah terbaik boleh diambil ketika ini ialah memastikan anak-anak menerima imunisasi yang secukupnya dan pada masa sama, memastikan komuniti turut dilindungi dengan imunisasi.

“Apabila dalam komuniti ramai yang sudah menerima pelalian, apabila ada virus polio yang datang ke komuniti, virus itu tidak boleh nak ‘survive’ dalam komuniti, sebab semua orang sudah diberi imuniti.

“Isunya apabila tidak ada ataupun imuniti dalam populasi itu rendah, jadi virus ini boleh ‘survive’ dan merebak dalam komuniti menyebabkan masalah,” katanya.

Menurut Jadual Imunisasi Kebangsaan Malaysia, bayi perlu menerima vaksin polio tidak aktif (IPV) pada usia dua bulan, tiga bulan dan lima bulan, selain perlu diberikan dos tambahan apabila mencapai usia 18 bulan. – BERNAMA

Berita Harian X