Khamis, 12 Disember 2019 | 1:44pm
Latheefa bercakap kepada pemberita selepas menghadiri forum ‘Pendedahan Rasuah Melalui Ketelusan Pemilikan Bermanfaat’ di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Azhar Ramli

SPRM mungkin siasat semula lebih 10 kes lama berprofil tinggi

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan lebih 10 kes lama berprofil tinggi akan dibuka semula jika ada keperluan dan bukti tambahan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, terlalu banyak kes yang dibangkitkan kepadanya, dengan sebahagian daripada siasatan kes itu sudah dihentikan namun beliau tidak pasti sebab sebenar.

“Akan ada banyak (kes) kerana setiap orang kelihatan seperti ada ‘pet file’. (Ada bertanya) kenapa anda tidak berurusan dengan (kes) Sarawak... Teoh Beng Hock, banyaklah kes sehingga saya tidak boleh sebut senarai sebab terlalu banyak.

“Sebahagian daripadanya saya diberitahu sudah ditutup. Orang sentiasa beritahu saya terdapat kes (bagi fail yang ditutup) jadi saya perlu berurusan dengan kes terbabit.

“Saya terima memo demi memo mengenai kes yang diberitahu tidak ada kes itu dan saya terima maklumat serta bukti tambahan. Jadi, saya perlu lihat kembali fail itu dan periksa semula sama ada ia ditutup secara baik atau sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri forum “Pendedahan Rasuah Melalui Ketelusan Pemilikan Bermanfaat” di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Transparency International Malaysia, Dr Muhammad Mohan.

Semalam, Latheefa berkata, SPRM akan membuka semula beberapa kes lama yang membabitkan kepentingan awam.

Katanya, beliau sudah mengeluarkan satu arahan umum supaya kes berkenaan disemak semula dengan pihaknya memang ada menerima beberapa aduan yang membabitkan kes seperti itu.

Sementara itu, diminta menamakan beberapa kes yang akan dibuka semula itu, Latheefa berkata, ia tidak boleh dinamakan ketika ini dan pihaknya masih menelitinya.

“Tak boleh sebab sebaik saja saya beritahu, siapa akan dapat tahu siapa yang akan lari? Tak boleh, saya perlu berurusan dengan perkara ini secara pragmatik dan profesional,” katanya.

Beliau turut mengakui terkejut dengan punca sebahagian kes berkenaan ditutup.

“Pada masa yang sama, kita berurusan dengan orang yang mungkin berpengaruh. Apa pun puncanya, kita perlu lihat balik dan diharap tidak ada yang melarikan diri jika kes itu tidak ditutup secara baik,” katanya.

Beliau menjelaskan, tempoh lamanya sesebuah kes yang akan dibuka itu bergantung kepada bukti yang diterima.

“Ia bukan mengenai mengambil tindakan kepada mana-mana pegawai. Saya kena lihat mengapa kes itu ditutup. Jika perlu, kita akan buka balik dan ia pernah berlaku sebelum ini, bukan sesuatu yang luar biasa (kes dibuka semula),” katanya.

Katanya, satu jawatankuasa akan dipertanggungjawabkan untuk melihat semula fail yang terbabit dan meneliti sebab ia ditutup dan melihat semula dokumen berkaitan.

“Buat masa ini, jawatankuasa itu belum dilantik kerana jawatankuasa sebelum ini sudah tamat tempoh. Kita sedang dalam proses (melantik jawatankuasa) dan buat masa ini, kita akan lakukan sendiri,” katanya.

Berita Harian X