Khamis, 12 Disember 2019 | 6:25pm

Dasar perlindungan sosial kebangsaan sedang dirangka

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang merangka dasar perlindungan sosial kebangsaan supaya selari dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) serta dasar semasa berkaitan.

Pejabat Timbalan Perdana Menteri dalam satu kenyataan sempena mesyuarat pertama Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) hari ini, memaklumkan dasar berkenaan merangkumi aspek pencegahan, perlindungan, promosi dan transformasi.

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail.

MySPC adalah badan induk penyelarasan dasar dan program bagi memperkasa sistem perlindungan sosial negara.

Menurut kenyataan itu, melalui MySPC, program perlindungan sosial sedia ada dan baharu akan juga dirasionalisasi.

"Ia bagi memastikan sumber kewangan digunakan secara optimum dan bantuan atau insentif yang disediakan dapat diagihkan secara efisien serta mampu memberi impak yang disasarkan," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, kerajaan menyediakan peruntukan RM22.27 bilion bagi melaksanakan lebih daripada 120 program bantuan sosial di 21 kementerian dan agensi berkaitan pada tahun ini.

“Penyaluran peruntukan itu bagi memastikan sumber kewangan digunakan secara optimum dan bantuan atau insentif yang disediakan dapat diagihkan secara efisien serta mampu memberi impak yang disasarkan.

Mesyuarat MySPC bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Kerja Bantuan Sosial diterajui oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Penubuhan jawatankuasa itu membabitkan usaha merasionalisasi dan memperkasa program bantuan sosial dengan memberi fokus kepada kelangsungan hidup, mobiliti sosial dan nilai tambah.

Jawatankuasa itu juga berperanan menyelaraskan semua program dan aktiviti berkaitan program bantuan sosial oleh pelbagai kementerian/agensi.

“Kumpulan sasar adalah dalam kalangan golongan berpendapatan rendah (B40) dengan tumpuan kepada golongan miskin dan miskin tegar,” kata kenyataan itu.

Mesyuarat juga bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Kerja Insurans Sosial yang diterajui oleh Kementerian Kewangan.

“Langkah ini penting bagi membolehkan kerajaan melaksanakan pembaharuan kerangka insurans sosial, pencen dan persaraan dengan skim perlindungan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ditambah baik dan diperluas kepada semua rakyat Malaysia,” katanya.

Selain itu, mesyuarat bersetuju dengan cadangan menubuhkan Jawatankuasa Intervensi Pasaran Buruh yang diterajui Kementerian Sumber Manusia bagi mewujudkan pasaran buruh yang aktif dan inklusif dengan meningkatkan penyertaan dan mengekalkan kumpulan sasar dalam pasaran buruh.

“Perkara itu akan dilaksanakan melalui intervensi kepada penempatan pekerjaan, peningkatan kemahiran dan latihan semula kemahiran, gaji minimum serta penggajian semula pesara atau warga emas,” katanya.

Mesyuarat turut bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Kerja Pengurusan Data yang diterajui Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi mewujudkan pembangunan Sistem Perlindungan Sosial Kebangsaan (SPSK).

“Sistem ini akan menyimpan dan mengurus semua data berkaitan perlindungan sosial yang komprehensif merentasi agensi yang akan digunakan secara efektif dalam program perlindungan sosial.

“Fokus pelaksanaan enam bulan pertama ialah pengumpulan dan pengesahan data penerima bantuan sementara sistem baharu dibangunkan. Ini akan dilakukan dengan kerjasama KWSP, PERKESO, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” katanya.

Kerajaan berharap dengan penubuhan MySPC ini, perlindungan sosial bukan hanya akan menjaga kebajikan sosial rakyat malah akan membabitkan langkah bagi mencegah, mengurus dan mengatasi cabaran yang membawa kesan negatif kepada kesejahteraan hidup rakyat.

Berita Harian X