Jumaat, 13 Disember 2019 | 7:00am
Engku Nur Jannah (dua dari kanan) bersama Pengurus Operasi Halal Loob Holding, Khairul Anuar Baharudin (kanan); Eksekutif Halal Loob Holding, Ahmad Nazmi Mohd Zulfakhar (kiri) dan Eksekutif Halal Loob Holding, Puteri Nur Hidayah Megat Zainuddin menunjukkan sijil halal di Tealive cawangan PJ Newtown. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam
Engku Nur Jannah (dua dari kanan) bersama Pengurus Operasi Halal Loob Holding, Khairul Anuar Baharudin (kanan); Eksekutif Halal Loob Holding, Ahmad Nazmi Mohd Zulfakhar (kiri) dan Eksekutif Halal Loob Holding, Puteri Nur Hidayah Megat Zainuddin menunjukkan sijil halal di Tealive cawangan PJ Newtown. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

Tealive penuhi permintaan pengguna Muslim, halal

KUALA LUMPUR: Faktor halal menjadi elemen paling utama dititikberatkan masyarakat di negara ini terutama dalam pemilihan produk makanan dan minuman.

Aspek itu sering menjadi perbahasan dalam kalangan pengguna Islam di negara ini yang tidak akan berkompromi jika mendapati bahan digunakan dalam sesuatu produk tidak halal dan mencurigakan.

Menyedari kepentingan aspek halal dan prihatin dengan keperluan masyarakat Islam berhubung isu ini, Loob Holding Sdn Bhd (Loob Holding), pengeluar jenama minuman teh gaya hidup, Tealive mengambil pendekatan menubuhkan jawatankuasa halalnya sendiri.

Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding, Bryan Loo, berkata penubuhan jawatankuasa itu bagi menguruskan sebarang permasalahan berkaitan isu halal.

Katanya, jawatankuasa itu berperanan mengendalikan perkara berkaitan bahan mentah, pemasaran dan operasi bagi mematuhi standard halal ditetapkan pihak berkuasa di negara ini.

Pengendalian lain yang dijalankan di bawah jawatankuasa itu adalah pembangunan dan penyelidikan (R&D) serta latihan dan audit.

“Atas nasihat pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), pensijilan halal bagi cawangan Tealive yang kini mempunyai 400 cawangan di seluruh negara, dibuat secara berperingkat bagi memudahkan urusan proses pemantauan dan pensijilan bagi semua cawangannya.

“Bermula tahun lalu, Tealive mendaftar bagi mendapatkan Pensijilan Halal Malaysia secara sukarela dan sehingga kini, lebih 100 cawangan Tealive sudah memiliki sijil halal, manakala bakinya sedang dalam proses memperoleh sijil berkenaan,” katanya.

Bryan menunjukkan produk Tealive keluaran Loob Holding yang memiliki sijil halal daripada JAKIM ketika ditemui di Kuala Lumpur. - NSTP/Khairul Azhar Ahmad
Bryan menunjukkan produk Tealive keluaran Loob Holding yang memiliki sijil halal daripada JAKIM ketika ditemui di Kuala Lumpur. - NSTP/Khairul Azhar Ahmad

Bryan berkata, Tealive kini mempunyai kira-kira 2,000 kakitangan di seluruh negara dengan 85 peratus daripadanya beragama Islam.

Sementara itu, Penolong Pengurus Loob Holding, Engku Nurul Jannah Engku Diaudin, menjelaskan Tealive menggunakan cara perolehan berpusat dalam memperoleh bahan mentah.

“Perolehan bahan mentah dikawal sepenuhnya oleh ibu pejabat bagi memastikan kawal selia halal dari sudut bahan mentah, selain menjaga kualiti produk dan bahan mentah yang diperoleh.

“Bahagian Rantaian Bekalan pada peringkat R&D turut dilatih untuk memastikan bahan mentah yang diperoleh mempunyai sijil halal JAKIM atau badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf JAKIM,” katanya.

Engku Nurul Jannah yang juga anggota jawatankuasa halal syarikat itu berkata, kawal selia yang ketat terhadap perolehan bahan mentah bagi memastikan bekalan diperoleh tidak dicemari bahan terlarang.

Beliau menjelaskan, jawatankuasa halal dianggotai setiap wakil daripada jabatan di syarikat terbabit yang akan memastikan setiap proses penghasilan produk mematuhi syarat halal.

“Jawatankuasa halal syarikat juga melaksanakan latihan kesedaran halal setiap bulan sekali gus memastikan perkara berkaitan halal menjadi peringatan utama.

“Tealive juga melakukan Quality Assurance dan Audit Dalaman Halal terutama dari segi penyediaan produk, penggunaan peralatan, kebersihan dan penyimpanan barang.

“Audit turut dibuat supaya patuh kepada syarat halal ditetapkan dari segi kakitangan, penyimpanan bahan mentah dan dokumen yang diperlukan di cawangan dipersijilkan halal oleh JAKIM,” katanya.

Engku Nurul Jannah berkata, Tealive turut menganjurkan kelas latihan halal kepada penyelia untuk setiap cawangan bagi memberi kesedaran dan kepentingan pensijilan halal serta memberi panduan kepada kakitangan supaya sentiasa mengikut garis panduan ditetapkan.

Lebih membanggakan, Tealive merangkul dua anugerah pada Asia Halal Brand Awards (AHBA) 2019 bagi kategori Jenama Teh Gaya Hidup Terbaik dan Majikan Cemerlang dalam satu majlis yang berlangsung di ibu negara baru-baru ini.

Tidak perlu khuatir produk ada sijil halal JAKIM

Masyarakat tidak perlu curiga atau mempertikaikan setiap produk yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kerana kualiti bahan digunakan adalah terjamin.

Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAKIM, Bukhari Md Akhir, berkata agensi terbabit mempraktikkan prosedur ketat sebelum mengeluarkan sijil halal bagi memastikan setiap produk dihasilkan termasuk bahan digunakan disahkan halal dan bersih dari segi hukum syarak serta aspek lain yang berkuat kuasa di negara ini.

Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAKIM, Bukhari Md Akhir. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAKIM, Bukhari Md Akhir. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

Beliau berkata, JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) mengenakan prosedur yang teliti sebelum SPHM dikeluarkan supaya produk dihasilkan disahkan halal mengikut piawaian ditetapkan.

Antaranya, pemohon harus memastikan sumber bahan ramuan halal dan memilih pembekal atau subkontraktor yang membekalkan bahan halal atau mempunyai Sijil Pengesahan Halal serta patuh prosedur halal dalam Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia.

“Syarikat disenaraikan dalam kategori multinasional dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) wajib mewujudkan Sistem Jaminan Halal bagi memastikan pematuhan prosedur pensijilan halal berjalan dengan berkesan,” katanya kepada BH.

Mengenai aspek berkaitan pekerja, JAKIM menetapkan syarat mereka harus mengamalkan kod etika pekerja dan amalan kesihatan baik sepanjang mengendalikan pemprosesan produk halal.

Katanya, antara lain pekerja harus mengamalkan penjagaan kesihatan dan kebersihan diri yang baik, terutama operator pengeluaran termasuk tidak dibenarkan memakai barang kemas atau barang perhiasan, jam dan sebagainya di kawasan pemprosesan makanan.

“Setiap aliran proses penghasilan apa saja produk termasuk makanan dan minuman diambil kira kerana JAKIM mahu memastikan kualiti produk terbabit adalah halal dan bersih.

“JAKIM dan JAIN turut melakukan pemantauan berkala di setiap premis yang memperoleh SPHM supaya mereka tidak menyeleweng dan sentiasa mematuhi syarat ditetapkan sebagai pemegang sijil halal.

“Mana-mana pemegang SPHM yang melanggar syarat ditetapkan, JAKIM dan JAIN berhak menarik dan membatalkan sijil yang dikeluarkan,” katanya.

Bukhari berkata, individu atau syarikat yang ingin memohon SPHM boleh dibuat secara dalam talian dengan proses kelulusan dalam tempoh antara 15 hingga 30 hari bergantung kepada dokumen disertakan.

Beliau berkata, setiap permohonan dikenakan bayaran RM200 dengan tempoh sah laku SPHM selama dua tahun.

“Jika SPHM sudah tamat tempoh, mereka yang ingin memperbaharui sijil itu boleh dibuat menerusi prosedur sama.

“Jika syarikat atau individu gagal memenuhi syarat dan peraturan halal, SPHM tidak akan dikeluarkan walaupun banyak kali membuat permohonan kerana kita mahu memastikan hanya produk yang patuh syariah dan menggunakan bahan halal saja benar-benar layak diberi SPHM,” katanya.

Berita Harian X