Jumaat, 13 Disember 2019 | 11:20am
PEMENANG 2019 APEC Digital Prosperity, Faezrah Rizalman (kanan) dan Jeannette Goon bergambar bersama trofi yang dimenangi di Majlis Penyampaian Anugerah 2019 APEC Diital Prosperity di Langkawi International Convention Centre. NSTP/Sharul Hafiz Zam
PEMENANG 2019 APEC Digital Prosperity, Faezrah Rizalman (kanan) dan Jeannette Goon bergambar bersama trofi yang dimenangi di Majlis Penyampaian Anugerah 2019 APEC Diital Prosperity di Langkawi International Convention Centre. NSTP/Sharul Hafiz Zam

Bayu Harvest menang Anugerah Kemakmuran Digital APEC 2019

LANGKAWI: Inovasi dua sahabat membangunkan aplikasi telefon pintar bagi membantu petani wanita di Sabah meningkatkan pendapatan membuahkan hasil apabila memenangi Anugerah Kemakmuran Digital APEC 2019.

Aplikasi yang diberi nama Bayu Harvest menjadi platform petani wanita mempersiapkan diri menguruskan tanaman di samping mempelajari ilmu keusahawanan dan teknik pemasaran yang betul.

Jurutera perisian, Faezrah Rizalman, 32, berkata kebanyakan petani wanita di Sabah menjual hasil tanaman kepada pemborong dengan harga yang rendah.

“Menerusi aplikasi ini, kami menyediakan latihan supaya mereka bukan setakat menjadi petani, malah dapat belajar cara pengurusan, pemasaran, pembungkusan dan promosi produk yang ditanam.

PEMENANG 2019 APEC Digital Prosperity, Faezrah Rizalman (kanan) dan Jeannette Goon menunjukkan produk hasil tani yang dipasarkan menggunakan aplikasi telefon pintar di Majlis Penyampaian Anugerah 2019 APEC Diital Prosperity di Langkawi International Convention Centre. NSTP/SHARUL HAFIZ ZAM
PEMENANG 2019 APEC Digital Prosperity, Faezrah Rizalman (kanan) dan Jeannette Goon menunjukkan produk hasil tani yang dipasarkan menggunakan aplikasi telefon pintar di Majlis Penyampaian Anugerah 2019 APEC Diital Prosperity di Langkawi International Convention Centre. NSTP/SHARUL HAFIZ ZAM

“Setakat ini, penggunaan aplikasi ini tertumpu kepada petani wanita di Sabah, namun akan diluaskan ke Sarawak seterusnya Semenanjung Malaysia nanti,” katanya selepas majlis penyampaian anugerah sempena Mesyuarat Pegawai Kanan APEC 2020, di sini.

Aplikasi itu dipertandingkan menerusi Cabaran Aplikasi APEC 2019 anjuran APEC, kerajaan Chile dengan kerjasama The Asia Foundation dan Google di Vina del Mar, Chile pada Mei lalu.

Faezah berkata, dengan menggunakan aplikasi Bayu Harvest, petani mampu menjadi lebih peka dalam menguruskan tanaman mereka dan belajar selok-belok untuk menaik taraf diri mereka sehingga bergelar usahawan.

Selain Faezrah, aplikasi terbabit turut dibangunkan bersama usahawan, Jeannette Goon,31, yang ternyata teruja dengan kemenangan tidak dijangka itu.

Jeannette berkata, aplikasi mudah alih itu hanya perlu dimuat turun di telefon bimbit tanpa memerlukan sokongan memori (RAM) yang terlalu besar dan mudah digunakan.

“Hasrat kami adalah untuk membantu petani wanita di kawasan pedalaman meningkatkan taraf hidup mereka.

“Aplikasi ini turut akan diterjemahkan kepada Bahasa Melayu bagi memudahkan mereka untuk mengaksesnya tidak lama lagi,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Sekretariat APEC, Tan Sri Rebecca Fatima Sta Maria, berkata anugerah berkenaan bertepatan dengan konsep kemakmuran bersama yang diterapkan dalam kalangan negara anggota APEC.

“Seringkali APEC dilihat sebagai platform yang hanya membincangkan perkara dan idea hebat di peringkat tertinggi semata-mata.

“Namun sebenarnya, kerjasama dengan pebagai pihak termasuklah Google dapat merealisasikan idea yang digarap anak muda bagi membantu dan mengubah taraf kehidupan masyarakat,” katanya.

Katanya, idea golongan muda perlu dimartabat sekali gus mengenepikan persepsi bahawa APEC adalah badan serantau yang hanya membangunkan isu-isu dasar rantau Asia Pasifik.

“Ini peluang terbaik untuk memartabat idea golongan muda dan mengubah kehidupan golongan petani luar bandar.

Harvest Bayu sudah membuktikan ini mampu dicapai seterusnya memperluas jenama ini boleh diperluas ke bahagian pedalaman Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia,” katanya.

Berita Harian X