Sabtu, 14 Disember 2019 | 11:11pm
Pakar Perubatan Keluarga dan Pengasas Persatuan Kesedaran AIDS Sabah (SAGA), Dr Zaiton Yahaya (kanan) dipilih sebagai penerima Anugerah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali 2019. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

Dr Zaiton Yahaya penerima Anugerah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali

KUALA LUMPUR: Pakar Perubatan Keluarga dan Pengasas Persatuan Kesedaran AIDS Sabah (SAGA), Dr Zaiton Yahaya, dipilih sebagai penerima Anugerah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali 2019.

Ia membolehkan beliau menerima wang tunai RM20,000, sijil penghargaan dan trofi.

Dr Zaiton, 56, yang bertugas di Klinik Kesihatan Sandakan, Sabah terpanggil untuk menubuhkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sendiri selepas seorang ibu kepada tiga anak yang juga seorang pesakit, merayu beliau membantu penghidap penyakit HIV/AIDS di Sabah kira-kira 11 tahun lalu.

Sejak itu, beliau gigih membantu pesakit HIV/AIDS yang tidak hanya terbatas di Sandakan, malah merangkumi daerah lain di Sabah untuk mendapat rawatan sesuai.

“Selain memberikan khidmat nasihat dan ubat-ubatan sesuai, SAGA turut menyediakan bantuan kewangan bagi menampung kos tambang bagi pesakit HIV/AIDS mendapatkan rawatan sebelum terlambat.

“Tindakan ini perlu kerana masalah utama kebanyakan pesakit HIV/AIDS di Sabah ialah kemiskinan dan kekurangan kesedaran untuk mendapat rawatan berterusan selepas dikesan menghidap penyakit berbahaya ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima anugerah berkenaan di sini, sebentar tadi.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Hadir sama, Penaung YAM, Datin Paduka Marina Mahathir dan Pengerusinya, Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman.

Anugerah Tun Dr Siti Hasmah yang kali terakhir dianjurkan pada 2012, bertujuan mengiktiraf kecemerlangan individu dan organisasi menangani isu AIDS di negara ini.

Dr Zaiton berkata, rawatan dan pencegahan menangani HIV/AIDS sudah ada dan amat penting bagi memastikan pelaksanaannya dibuat secara menyeluruh.

“Kita perlu kurangkan stigma dan tidak berlaku diskriminasi terhadap golongan itu supaya isu berkaitan AIDS di negara ini dapat diselesaikan secara berkesan.

“Isu stigma dan diskriminasi menjadikan lebih ramai orang takut untuk tampil ke hadapan .

“Tanpa diskriminasi, mereka lebih yakin dan mengambil langkah penting membuat ujian saringan HIV sebagai langkah pertama bagi mengetahui status serta mendapatkan rawatan lanjutan sekiranya perlu,” katanya.

Terdahulu, Marina merakamkan rasa gembiranya kerana Majlis Makan Malam Gala Anugerah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali malam ini mengumpul dana berjumlah RM2.4 juta bagi membantu pesakit AIDS/HIV di Malaysia.

Berita Harian X