Ahad, 15 Disember 2019 | 12:11am
Anggota Pertahanan Awam memindah mangsa banjir di Pusat Penempatan Rakyat Termiskin (PPRT) Jalan Sawi, Kluang. - NSTP/Adnan Ibrahim

JKR Johor diminta kenal pasti laluan terjejas akibat banjir

JOHOR BAHRU: Jabatan Kerja Raya (JKR) diminta mengumpul data dan mengenal pasti jalan yang terjejas akibat bencana banjir di Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohd Solihan Badri, berkata ia bagi memudahkan pihaknya memantau keadaan jalan terbabit sama ada selamat untuk dilalui oleh semua kenderaan atau sebaliknya.

Beliau berkata, ia sebagai langkah awal untuk pihaknya menjalankan penambahbaikan seperti penurapan terhadap jalan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohd Solihan Badri. - NSTP/Zain Ahmed

“Saya telah arahkan pihak kakitangan syarikat konsesi jalan mengambil langkah keselamatan seperti meletakkan tanda amaran di laluan terjejas,” katanya ketika dihubungi BERNAMA, hari ini.

Beliau berkata, bagi mengelak perjalanan tergendala atau perkara buruk berlaku, orang ramai dinasihatkan mengikuti perkembangan semasa dengan mendapatkan maklumat terkini dari Bilik Gerakan Banjir negeri.

Terdahulu, Solihan telah melawat kawasan tebing Jalan Utama Tenggaroh-Tanjung Leman di Mersing hari ini, yang dilaporkan runtuh, berikutan limpahan air banjir.

Katanya, kejadian dikatakan berpunca daripada pembetung di kawasan itu tidak dapat menampung kapasiti air, menyebabkan air melimpah sehingga ke bahu jalan dan mengakibatkan tanah runtuh.

“Setakat ini laluan berkenaan tidak ditutup dan bahu jalan terbabit telah ditimbus dan ditutup menggunakan kanvas.

“Pengguna jalan raya di kawasan Tenggaroh boleh menggunakan laluan alternatif menerusi Jalan Tanjung Kuala Sedili, Perani dan Mawai,” katanya.

Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dalam kenyataan petang tadi pula memberitahu lima laluan di dua daerah di Johor ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan kerana dinaiki air dan mengalami tanah runtuh.

Tiga laluan itu terletak di daerah Kota Tinggi, yang merangkumi Jalan Batu 18, Jalan Ladang Pasir Logok-Ladang Bukit Berkelompok dan Jalan Ladang Bukit Payong yang kesemuanya berhampiran Kampung Tunjuk Laut.

Dua lagi laluan ialah di Mersing meliputi Jalan Tenggaroh 3 menuju ke Mawai/ Kota Tinggi/ Sedili serta Jalan Endau Batu 12 ke Rompin. – BERNAMA

Berita Harian X