Ahad, 15 Disember 2019 | 3:54pm
HALIM di hadapan taman tema air Splash Out Langkawi yang mula dibuka kepada orang ramai hari ini. - Foto Hamzah Osman
HALIM di hadapan taman tema air Splash Out Langkawi yang mula dibuka kepada orang ramai hari ini. - Foto Hamzah Osman

Splash Out Langkawi taman tema air pertama di Langkawi

LANGKAWI: Gelongsor air setinggi bangunan enam tingkat di Splash Out Langkawi (SOL) di sini, kini menjadi tarikan pelancongan baharu ke pulau lagenda ini.

Ini berikutan taman tema air sulung oleh Kumpulan Halim Mazmin (KHM) seluas empat hektar dengan kos RM60 juta dibuka kepada orang ramai mulai hari ini.

Pengerusi Eksekutif KHM, Tan Sri Halim Mohammad, berkata pihaknya menjanjikan keseronokan kepada pengunjung sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

“SOL menyediakan sembilan jenis simulasi ombak yang amat mencabar dan berupaya memberi pengalaman baharu kepada pengunjung dewasa dan kanak-kanak.

“Pengunjung juga pasti teruja menaiki mangkuk parabola atas rakit dengan putaran kaleidoskop sebelum jatuh selaju 50 kilometer sejam,” katanya pada sidang media selepas melakukan prapelancaran SOL di sini, hari ini.

Halim berkata, majlis perasmian SOL akan diadakan Mac depan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Sempena prapelancaran ini, kami menawarkan potongan harga 50 peratus kepada warga Kedah bermula hari ini hingga 31 Disember ini.

“Pembukaan SOL membuka peluang pekerjaan kepada 150 belia tempatan bagi mengisi pelbagai jawatan, khususnya berkaitan keselamatan dalam air,” katanya.

Yang turut hadir, Pengarah Eksekutif KHM, Mazmin Nordin; Pengarah Urusan KHM, Hazlan Halim dan Pengurus Besar SOL, Firdaus Raj Abdullah.

Berita Harian X