Rabu, 18 Disember 2019 | 6:51pm

NSTP sumbang kasut menjelang sambutan Krismas

SEMENYIH: Kegembiraan dan keceriaan jelas terpancar pada wajah 85 kanak-kanak kurang bernasib baik apabila menerima sumbangan sepasang kasut daripada The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), di sini, hari ini.

Menerusi program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) NSTP iaitu NST Outreach, penghuni Desa Amal Jireh yang berusia antara 6 hingga 18 tahun, masing-masing menerima sepasang kasut kasual atau kasut sukan mengikut saiz dan warna pilihan mereka sendiri.

Wan Abdillah Wan Nawi (dua dari kiri) menerima cenderahati daripada Pengarah Desa Amal Jireh, Kamala Sinnadurai (kanan) di Desa Amal Jireh, Semenyih. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Wan Abdillah Wan Nawi (dua dari kiri) menerima cenderahati daripada Pengarah Desa Amal Jireh, Kamala Sinnadurai (kanan) di Desa Amal Jireh, Semenyih. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Ketua Komunikasi Korporat NSTP, Wan Abdillah Wan Nawi, berkata program dengan kerjasama KPJ Tawakkal Specialist Hospital (KPJ Tawakkal) dan Bata Primavera Sdn Bhd itu bertujuan menggembirakan kanak-kanak terbabit dengan menyampaikan hadiah yang mereka mahu supaya dapat digunakan semasa perayaan Krismas.

“Hospital KPJ Tawakal turut memberi sumbangan kewangan untuk membeli kasut yang diminta ini sementara Bata Primavera menawarkan harga potongan istimewa.

“Kami akan memastikan CSR ini bertukar-tukar dan tidak hanya memfokuskan kepada kanak-kanak sahaja.

Penerima sumbangan kelihatan gembira ketika menerima sumbangan di Desa Amal Jireh, Semenyih. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Penerima sumbangan kelihatan gembira ketika menerima sumbangan di Desa Amal Jireh, Semenyih. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

“Sebelum ini kami melaksanakan program bersama orang tua dan dan orang kelainan upaya (OKU),” katanya ketika ditemui selepas penyerahan kasut di Desa Amal Jireh.

Kanak-kanak yang menerima sumbangan turut didedahkan dengan tujuh cara mencuci tangan dengan betul oleh wakil dari KPJ Tawakal.

Sementara itu, salah seorang penerima, Srii Ranjana, 16, bersyukur dan berterima kasih kepada NSTP yang membantu menyediakan hadiah berkenaan.

“Saya sangat bertuah dan gembira dengan sumbangan ini dan akan dimanfaatkan sepenuhnya semasa ‘carrolling’ pada Krismas nanti.

“Bukan selalu saya diraikan seperti ini, seronok dapat memiliki warna kasut pilihan sendiri. Terima kasih kerana sudi menyediakan keperluan ini kepada kami,” katanya.

Ketua Komunikasi Korporat NSTP, Wan Abdillah Wan Nawi menyampaikan kasut kepada salah seorang penghuni Desa Amal Jireh. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Ketua Komunikasi Korporat NSTP, Wan Abdillah Wan Nawi menyampaikan kasut kepada salah seorang penghuni Desa Amal Jireh. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Pengerusi rumah kebajikan terbabit, Kamala Sinnadurai, berkata usaha syarikat yang sudi ‘turun padang’ untuk menyampaikan sumbangan amat bermakna dan menyentuh hati.

Beliau berkata, usaha dan sumbangan itu membuktikan masih ada pihak yang prihatin untuk menggembirakan kanak-kanak kurang bernasib baik, khususnya apabila menjelang perayaan.

“Kami sangat mengalu-alukan kehadiran orang ramai untuk meluangkan masa dengan kanak-kanak ini.

“Banyak aktiviti boleh dilakukan seperti cat dinding, bermain dengan mereka, sekadar menghiburkan hari mereka,” katanya.

Ketua Komunikasi Korporat NSTP, Wan Abdillah Wan Nawi bersama Pengarah Desa Amal Jireh, Kamala Sinnadurai (tengah) bergambar penghuni Desa Amal Jireh di Semenyih. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Ketua Komunikasi Korporat NSTP, Wan Abdillah Wan Nawi bersama Pengarah Desa Amal Jireh, Kamala Sinnadurai (tengah) bergambar penghuni Desa Amal Jireh di Semenyih. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X