Khamis, 19 Disember 2019 | 12:24pm
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah pada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). - Foto Asyraf Hamzah
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah pada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). - Foto Asyraf Hamzah

Perpaduan, pembangunan penting untuk ummah hadapi cabaran - Agong

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru umat Islam meningkatkan usaha ke arah perpaduan dan pembangunan bagi mengatasi pelbagai cabaran hidup dalam dunia yang sangat kompleks.

"Pada saya, keperluan untuk perpaduan ummah serta membawa pembangunan kepada komuniti kita adalah dua kaedah paling penting untuk menghadapi cabaran-cabaran itu," titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah bertitah, umat Islam kini hidup dalam pelbagai kategori yang menjadikan mereka berada dalam perseteruan dan kebencian antara satu sama lain, sikap tidak bertoleransi sehingga mencapai tahap membimbangkan, selain diselubungi b​​erita sedih dan kesengsaraan, serta tragedi dan kehilangan.

"Bagaimanapun, saya amat merasakan keadaan ini tidak seharusnya berlaku dan kita boleh melihat diri kita sendiri untuk mencari jalan damai, kerana Islam adalah agama yang menggalakkan rasionalisasi, pemikiran saintifik dan etika yang kuat," titah Seri Paduka.

Yang di-Pertuan Agong bertitah demikian merasmikan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (Sidang Kemuncak KL) 2019 di sini, hari ini.

Persidangan itu dihadiri pemimpin Islam seperti Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani; Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Iran Hassan Rouhani.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Dalam titah diraja itu, Al-Sultan Abdullah bertitah umat Islam datang dari pelbagai negara yang mempunyai sejarah dan amalan berbeza.

“Bagaimanapun, kita bersatu dalam satu paksi universal iaitu Islam...kita berbeza dalam kedudukan dan zon waktu, tetapi kita bersama-sama menunaikan ibadah solat. Ia suatu yang sangat menakjubkan,” titah baginda.

Ini secara jelas menunjukkan bahawa umat Islam berusaha ke arah mencapai perpaduan dalam kehidupan seharian.

“Mungkin telah tiba masanya bagi kita memperluaskan usaha individu untuk melangkah menuju perpaduan ummah yang lebih utuh.

“Marilah kita bersama-sama dan menyatakan komitmen untuk melaksanakan amalan kita menunaikan solat lima kali sehari di seluruh dunia, bagi menaik taraf kehidupan ummah selain membina semula peradaban Islam yang gemilang seperti dahulu,” titah Seri Paduka.

Menzahirkan baginda tidak mahu berpura-pura menyatakan cabaran yang dihadapi umat Islam hari ini mudah diselesaikan, Al-Sultan Abdullah bertitah ia adalah tugas sukar yang menghendaki setiap anggota masyarakat berikhtiar bersungguh-sungguh merealisasikannya.

“Bagaimanapun, saya yakin ini tidak seharusnya menghalang daya upaya kita untuk mencapai matlamat murni menyatupadukan ummah yang pelbagai, kaya serta bersemangat,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah melihat Sidang Kemuncak KL sebagai satu platform penting untuk pemimpin dan cendekiawan Islam bagi membuktikan keutuhan perpaduan ummah.

“Dengan berbuat demikian, kita akan mengetahui ada perbezaan ketara namun cabaran yang kita hadapi adalah sama. Tema persidangan ini yang menekankan aspek pembangunan dan kedaulatan negara adalah tepat, seiring perkongsian kemakmuran dan pembangunan sesebuah negara,” titah Seri Paduka.

Dalam titah diraja itu, Al-Sultan Abdullah turut menyentuh mengenai kepentingan dialog bagi membetulkan salah faham tentang Islam dan sebagai satu amalam untuk memahami dan bekerjasama di sebalik perbezaan selain bersaing mengejar kecemerlangan secara sihat.

“Menerusi dialog, umat Islam akan mempunyai platform yang kukuh untuk memperbetulkan salah faham mengenai Islam dalam kalangan mereka yang berlainan agama dan ideologi, selain membolehkan mereka berinteraksi dan berhubung dengan masyarakat berlainan budaya dan ketamadunan.”

Seri Paduka bertitah untuk membolehkan dialog sedemikian, langkah ke hadapan bagi umat Islam juga perlu meliputi pemahaman yang lebih mendalam terhadap iman dan menggunakannya sebagai asas.

"Apabila kita mencapainya, kita akan mewujudkan generasi baharu umat Islam yang boleh melaksanakan peranan mereka dengan kebijaksanaan, keberanian, keadilan dan kesaksamaan," titah Al-Sultan Abdullah.

Generasi baharu, titah Seri Paduka, mempunyai kelebihan yang signifikan di dunia moden, yang membolehkan mereka mengakses segera pengetahuan yang lebih tinggi.

"Melalui gabungan nilai-nilai positif, akses kepada teknologi maklumat dan komunikasi, keupayaan untuk memahami perbezaan dan kepercayaan lain, generasi baharu umat Islam ini berpotensi besar untuk menghidupkan semula peradaban Islam dan pengguna dalam era baharu kegemilangan Islam."

Sidang Kemuncak KL yang berlangsung sehingga Sabtu, antara lain bertujuan membincangkan kaedah baharu dan boleh dilaksanakan untuk menyelesaikan masalah dunia Islam.

Berita Harian X