Jumaat, 20 Disember 2019 | 3:14pm
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh (tengah) bergambar selepas menerima Laporan Status Mengenai Hak Asasi Kanak-Kanak di Malaysia 2018 oleh Gabungan Hak Kanak-Kanak Malaysia (CRCM) di Rumah Tangsi, Tasik Perdana. - NSTP/Mustaffa Kamal

Laporan menyeluruh isu kanak-kanak di Malaysia dibentangkan tahun depan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan membentangkan laporan menyeluruh membabitkan isu kanak-kanak di negara ini, tahun depan.

Timbalan Menterinya, Hannah Yeoh, berkata laporan itu akan lebih terperinci membabitkan pelbagai aspek kepentingan golongan terbabit berbanding Laporan Status Mengenai Hak Asasi Kanak-Kanak di Malaysia 2018 dihasilkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, penyediaan laporan itu sedang pada peringkat akhir dan akan dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk diteliti.

Beliau berkata, laporan berkaitan isu kanak-kanak tidak dibentangkan sejak 2006 atas beberapa faktor, antaranya mendapatkan maklumat daripada kementerian berkaitan sehingga menyebabkan ia tertangguh.

“Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, sudah mengarahkan supaya laporan ini dihantar pada tahun depan.

“Semestinya laporan ini lebih terperinci. Oleh itu, kita mengambil masa untuk mendapatkan pengesahan daripada semua kementerian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menerima Laporan Status Mengenai Hak Asasi Kanak-Kanak di Malaysia 2018 oleh Gabungan Hak Kanak-Kanak Malaysia (CRCM), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, wakil Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Radek Rzehak, dan Pesuruhjaya Kanak-Kanak, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal.

Selain itu, Yeoh berkata, kementerian akan memfokus ke arah penubuhan agensi khas untuk kanak-kanak pada tahun depan, supaya hak dan kebajikan kira-kira sembilan juta kanak-kanak di negara ini lebih mendapat perhatian khusus.

“Isu kanak-kanak merentasi pelbagai kementerian, bukan kementerian ini saja. Jika diletakkan bawah Bahagian Kanak-kanak, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), memang tiada pengkhususan, tenaga kerja dan peruntukan mencukupi bagi populasi kanak-kanak di negara ini.

“Kita juga akan memfokus untuk menambah bilangan pelindung kanak-kanak kerana ketika ini, jumlah 200 pelindung kanak-kanak tidak mencukupi. Kita sebenarnya memerlukan 1,500 pelindung kanak-kanak,” katanya.

Berhubung Laporan Status Mengenai Hak Asasi Kanak-Kanak di Malaysia 2018 pula, Yeoh berharap ia akan mendapat perhatian dan tindakan susulan daripada kerajaan serta pihak berkaitan supaya isu kanak-kanak dapat difahami sepenuhnya dan diselesaikan.

Laporan setebal 101 muka surat itu antara lain menggariskan beberapa isu berkaitan hak asasi kanak-kanak di negara ini, termasuk mengenai pelarian, penyeludupan kanak-kanak, kewarganegaraan dan tidak saf taraf, pendidikan serta kesihatan.

Antara isu dimasukkan ke dalam laporan itu ialah 290,000 anak tidak sah taraf di negara ini dengan 60,000 daripadanya tidak memiliki sijil kelahiran, serta 42,481 daripada hampir 164,000 pelarian dan pemohon suaka adalah kanak-kanak.

Berita Harian X