Isnin, 23 Disember 2019 | 6:29pm
ANWAR Ibrahim
ANWAR Ibrahim

Anwar minta Dong Zong berdialog

Oleh Luqman Arif Abdul Karim

[email protected]

KUALA LUMPUR: Pertembungan dua pihak berikutan polemik mengenai tulisan jawi sepatutnya diselesaikan menerusi ruang dialog, bukan penganjuran sebarang sidang yang dikhuatiri bakal menghangatkan suasana politik dan kaum.

Mengetengahkan pendekatan itu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengingatkan bahawa jawi adalah sebahagian daripada khazanah budaya, bangsa dan negara, justeru ikhtiar untuk menerapkan tulisan berkenaan dalam sistem pendidikan ialah demi meningkatkan mutu pelajaran.

“Bahasa Melayu dan kini bahasa kebangsaan mula ditulis dalam huruf Arab yang diubah suai kepada tulisan jawi. Ia perlu dilihat sebagai antara langkah menyemarakkan kesedaran lintas budaya.

“Malaysia kekal sebagai negara pelbagai kaum dan budaya, malah kita harus berbangga serta menghormati kepelbagaiannya.

“Maka sekali lagi, saya ingin menggesa rakan-rakan, khususnya Dong Zong dan pertubuhan Melayu lainnya supaya tidak meneruskan dengan sidang anti atau projawi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Gabungan pertubuhan pendidikan Cina, Dong Jiao Zong, pada Khamis lalu, dilaporkan menggesa pertubuhan Cina lain mendaftar untuk menghadiri kongres yang dijangka diadakan pada 28 Disember ini bagi menyuarakan bantahan terhadap pengenalan pelajaran jawi di sekolah vernakular.

Kongres yang dijadual berlangsung di Kolej New Era, Kajang dengan matlamat kononnya untuk menjaga kedaulatan pihak lembaga sekolah vernakular.

Isu pembelajaran jawi sebelum ini mencetuskan perbalahan pelbagai pihak sehingga mengheret ke kancah perkauman.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X