Jumaat, 27 Disember 2019 | 8:32pm
Pelaksanaan Program Sarapan Pagi (PSP) fasa pertama 2020 akan bermula 20 Januari 2020. - Foto hiasan

Fasa pertama Program Sarapan Pagi mula 20 Januari

PUTRAJAYA: Pelaksanaan Program Sarapan Pagi (PSP) fasa pertama 2020 akan bermula 20 Januari 2020 membabitkan 100 sekolah dari seluruh negara dengan 37,000 murid dan 1,600 guru bertugas setiap hari.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan hari ini memaklumkan kos pelaksanaan fasa pertama program itu dianggarkan RM22 juta.

Katanya, pelaksanaan PSP fasa pertama akan menggunakan menu makanan berkonsepkan Grab ‘n’ Go yang terdiri daripada menu minuman produk tenusu atau minuman berkhasiat dan makanan ringkas seperti roti, biskut, snek bijirin, kuih, sandwic, buah-buahan atau telur rebus.

“Waktu pelaksanaan PSP adalah antara jam 7 pagi hingga jam 8.30 pagi bagi persekolahan sesi pagi dan jam 1 hingga 4 petang bagi persekolahan sesi petang, mengikut ketetapan pengurusan sekolah.

“Pemilihan 100 sekolah dalam fasa pertama dilaksanakan berdasarkan keutamaan kepada sekolah yang mempunyai peratus tertinggi murid daripada golongan B40 di setiap negeri.

“Ia turut mengambil kira semua jenis sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT),” katanya.

Kementerian menyatakan pemilihan sekolah juga adalah berkadar dengan jumlah bilangan sekolah yang melaksanakan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di setiap negeri yang meliputi semua lokasi iaitu bandar, luar bandar dan pedalaman.

“Pelaksanaan ini juga mengambil kira pandangan Kementerian Kesihatan yang sudah memperuntukkan seorang Pegawai Sains Pemakanan bagi setiap daerah untuk memberi khidmat nasihat kepada sekolah berkaitan menu PSP.

“Bagaimanapun, kebenaran ibu bapa diperlukan bagi mendapatkan persetujuan dan maklumat penting kesihatan murid seperti alahan kepada makanan tertentu supaya menu alternatif dapat disediakan,” katanya.

Kementerian Pendidikan juga merancang program diperluaskan kepada semua 7,776 sekolah rendah untuk manfaat kira-kira 2.7 juta murid di seluruh negara.

“Ini bergantung kepada peruntukan yang diterima dan kesediaan pihak kantin dan sekolah. Pemantauan secara berterusan akan dilaksanakan kementerian dengan kerjasama Kementerian Kesihatan supaya makanan yang dibekalkan berkualiti bagi mencapai impak yang disasarkan.

“Kajian keberkesanan program akan dilaksanakan dan akan dibentangkan untuk tujuan penambahbaikan program dari semasa ke semasa,” katanya.

PSP di sekolah rendah adalah inisiatif terbaru kementerian untuk menyediakan makanan berkhasiat mengikut nilai kalori dan amalan pemakanan seimbang bagi memastikan murid mengamalkan pengambilan sarapan, gaya hidup sihat serta merangsang proses tumbesaran mereka.

Berita Harian X