Sabtu, 28 Disember 2019 | 6:01pm
SETIAUSAHA Agung Dong Zong, Ng Chai Heng (tengah) pada sidang media di Semenyih, hari ini.
SETIAUSAHA Agung Dong Zong, Ng Chai Heng (tengah) pada sidang media di Semenyih, hari ini.

Lebih 900 SJKC tolak tulisan jawi - Dong Zong

SEMENYIH: Lebih 900 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di seluruh negara didakwa menolak pembelajaran tulisan jawi dan menyifatkannya bukan dalam konteks kepelbagaian.

Keputusan itu diperoleh Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) menerusi kempen dan kajian yang dijalankan terhadap SJKC di negara ini.

Setiausaha Agung Dong Zong, Ng Chai Heng, berkata 900 sekolah itu menandatangani kajian bagi menyatakan pendirian tidak bersetuju terhadap pengajaran dan pembelajaran tulisan Jawi di SJKC.

“Masih ada beberapa sekolah di negeri menjalankan kempen tandatangan itu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, satu mesyuarat yang dihadiri wakil 17 persatuan Cina diadakan sebagai menggantikan persidangan membantah isu tulisan jawi yang dibatalkan susulan perintah mahkamah yang diperoleh polis.

Walaupun persidangan itu dibatalkan, Chai Heng berkata, sebanyak 1,118 SJKC dan pertubuhan Cina menyatakan sokongan terhadap majlis itu.

“Lembaga pengelola SJKC berhak menentukan dasar sekolah mereka dan kami berpendapat setiap sekolah perlu melaksanakan dasar pembelajaran untuk semua kaum,” katanya.

Beliau berkata, Dong Zong akan mengadakan sesi dialog dengan pelbagai pihak termasuk Kementerian Pendidikan dan parti politik berhubung isu pembelajaran tulisan jawi.

“Persidangan ini asalnya bertujuan menyelesaikan isu berbangkit, namun kami bersetuju mengadakan dialog selepas menerima pandangan dan mesej daripada pelbagai pihak.

“Dialog akan berlangsung dalam suasana aman dan kita akan tolak jika ada pihak cuba menimbulkan persekitaran tidak baik,” katanya.

Katanya, polis tidak sepatutnya menggunakan mahkamah untuk membatalkan persidangan itu kerana mendakwa tidak menjejaskan ketenteraman awam.

“Kami tidak puas hati dengan tindakan polis membuat permohonan kepada mahkamah atas alasan mengganggu ketenteraman awam dan mendatangkan bahaya kepada nyawa atau keselamatan orang ramai.

“Polis sepatutnya mengambil tindakan ke atas individu dan kumpulan yang mengancam serta mengganggu Persidangan Pertubuhan-Pertubuhan Cina dijalankan secara aman,” katanya.

Berita Harian X