Sabtu, 28 Disember 2019 | 8:25pm
Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

Kecuali visa setahun bagi pelancong India, China bermula 1 Januari

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengumumkan pengecualian visa selama setahun dengan tempoh lawatan terhad kepada 15 hari tanpa tempoh lanjutan, bagi pelancong dari India dan China, mulai 1 Januari ini.

Menurut Warta Kerajaan bertarikh 26 Disember lalu, pelancong dari China dan India perlu berdaftar dalam sistem dan maklumat perjalanan elektronik disediakan Imigresen seperti tertakluk mengikut subseksyen 2(1) Akta Pasport 1966.

Pelancong perlu melakukan perjalanan ke Malaysia dalam tempoh tiga bulan selepas berdaftar dalam sistem pendaftaran dan maklumat perjalanan elektronik itu.

“Pelancong tidak dibenarkan untuk memohon apa-apa pas lain di bawah Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, selain perlu mempunyai tiket penerbangan perjalanan balik terus ke India dan China atau mana-mana negara, jika melakukan perjalanan melalui udara.

“Pelancong hendaklah memasuki dan keluar dari Malaysia hanya melalui lapangan terbang dibenarkan seperti diwartakan di bawah subseksyen 5(1) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) atau melalui pos kawalan imigresen ditetapkan,” kata warta berkenaan.

Pos kawalan itu terletak di Bangunan Sultan Iskandar, Stesen Keretapi Johor Bahru dan Pos Kawalan Imigresen Kompleks Sultan Abu Bakar di Tanjung Kupang, Johor; Padang Besar, Perlis; Bukit Kayu Hitam, Kedah serta Sungai Tujoh dan D22A Pos Kawalan Imigresen Tedungan, Batu Danau Limbang, Bahagian Kelima, Sarawak.

Warta itu turut menjelaskan pelancong juga perlu mengemukakan bukti mempunyai wang poket mencukupi, kad kredit atau kad bank dan jadual perjalanannya di Malaysia, ketika ketibaan.

“Pelancong dibenarkan untuk mendaftar semula seperti subperenggan (a) untuk memasuki Malaysia selepas tempoh 45 hari dari tarikh meninggalkan Malaysia,” katanya.

Berita Harian X