Ahad, 29 Disember 2019 | 5:18pm
Empangan Kenyir mewujudkan kesan limpahan ekonomi yang lebih besar kepada penduduk dan negeri terutama dalam kawalan banjir dan kemarau serta membantu dalam aspek pengurusan air minuman kepada penduduk.

Puah, Tembat lengkap sistem takungan bertingkat

KALI pertama berkunjung, Empangan Puah dan Tembat sedang dibina. Kunjungan minggu lalu, kira-kira lapan tahun kemudian, kedua-duanya sudah beroperasi. Selepas membuat percantuman minda mengenai kedudukan dahulu dan sekarang, saya mendapat gambaran penuh. Rasa kagum menjelma kerana projek mega yang saya lihat ketika peringkat awal ‘kejadian’ kini sudah berbakti.

Puah yang mula beroperasi pada 2015, menjana 250MW menerusi dua unit turbin (125MW x 2) dan Tembat yang mula beroperasi pada 2017, menjana 15MW menerusi dua unit turbin (7.5MW x 2).

Selain menjana elektrik menerusi tasik yang terbina, kawasan sekitar Empangan Puah umpamanya yang sudah pulih daripada ‘luka pembinaan’, kini kembali menjadi kawasan rayauan gajah.

Empangan Puah dan Tembat melengkapkan sistem takungan bertingkat yang mana air yang dijana di Stesen Janakuasa Hulu Terengganu daripada kedua-dua empangan berkenaan mengalir pula ke Tasik Kenyir dan membentuk Skim Stesen-Stesen Janakuasa Kenyir.

Tasik Kenyir mendapat namanya dari Sungai Kenyir yang mana Empangan Kenyir dibina tidak jauh dari situ.

Ada kira-kira 30 sungai lain termasuk Sungai Terengganu dan Sungai Berang mengalir masuk ke tasik itu yang kemudian menenggelamkan lebih 10 kampung dengan kedalaman hingga 145 meter dan membentuk 340 pulau.

Mula dibina pada 1978 dan beroperasi pada 1985, tasik seluas 370 kilometer persegi, menyamai keluasan Singapura atau satu setengah kali Kuala Lumpur, Empangan Kenyir memainkan peranan utamanya iaitu membekalkan air kepada Stesen Janakuasa Sultan Mahmud (SJSM) untuk menjana 400MW elektrik menerusi empat turbin.

Namun, peranan Tasik Kenyir lebih daripada sekadar menjana elektrik. Empangan mewujudkan kesan limpahan ekonomi yang lebih besar kepada penduduk dan negeri terutama dalam kawalan banjir dan kemarau serta membantu dalam aspek pengurusan air minuman kepada penduduk.

Empangan Tembat melengkapkan Skim Hidroelektrik Hulu Terengganu.

Dalam aspek kawalan banjir, jika sebelum ada Stesen Janakuasa Sultan Mahmud di Jenagor, sering dikhabarkan penduduk di hulu terputus hubungan dengan pekan Kuala Berang kerana jambatan di Sungai Terengganu pun tenggelam.

Sebaliknya, sejak 1985 penduduk di hulu Sungai Terengganu seperti Kampung Dusun, Temir, Pasir Nering dan Buluh tidak lagi banjir. Malah, ketika banjir buruk pada 2014, sehingga air melimpah di Empangan Kenyir melebihi paras 148.08 meter, bencana banjir tidak terjadi di kawasan itu.

Ditambah pula dengan kewujudan Empangan Puah dan Tembat yang mewujudkan tasik seluas 7,197 hektar atau satu per enam Tasik Kenyir, aspek kawalan banjir dan pengairan terutama sumber air minuman sebahagian besar penduduk Terengganu menjadi lebih berkesan.

Beberapa daerah dengan penduduk padat di Terengganu termasuk Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang mendapat bekalan air minuman dari Sungai Terengganu. Pada musim kemarau atau apabila air pasang besar melimpah masuk ke Sungai Terengganu, muka suak Syarikat Air Terengganu (SATU) akan menyedut masuk air masin menyebabkan penduduk menerima air payau.

Sekali lagi empangan di hulu milik TNB memainkan peranan. Seperti dikatakan Ketua (Stesen-Stesen Janakuasa Kenyir), Bahagian Penjanaan TNB, Mustaphakamal Yaacob, Empangan Kenyir akan melepaskan lebih banyak air bagi mengimbangi air masin dari laut yang masuk ke Sungai Terengganu.

Mustaphakamal Yaacob.

Namun demikian, peranan yang dimainkan air dari empangan untuk menuras air minuman biasanya hampir tidak diketahui penduduk. Sebaliknya, ketiga-tiga empangan di Hulu Terengganu biasanya mendapat publisiti yang tidak sepatutnya menerusi viral pelepasan air yang didakwa menjadi punca banjir.

Hampir setiap kali musim tengkujuh, akan ada elemen begini termasuk yang disebarkan, baru-baru ini, kononnya berlaku limpahan besar dari Tasik Kenyir.

Memang ada pelepasan, tetapi viral itu diambil di Empangan Tembat yang hanya mempunyai takungan 0.05 peratus dari Tasik Kenyir.

Ia adalah pelepasan semula jadi (natural spillage) yang disalurkan ke Tasik Kenyir dan tidak apa yang perlu dibimbangi penduduk.

Empangan Puah menjana 250MW menerusi dua turbin (125MW x 2) beroperasi pada 2015.

Tasik Kenyir pula hanya menyalurkan air ke Sungai Terengganu yang mana walaupun banjir besar 2014, sungai itu tidak melimpah dan membanjiri kawasan sekitar.

Setiap tahun, TNB sebagai pemilik empangan membuat persediaan awal menjelang musim Monsun Timur Laut. Bermula September hingga hujung tahun, paras empangan akan diturunkan secara berperingkat sebanyak 10 meter.

Ini bagi membolehkan empangan menampung jangkaan hujan sangat lebat pada musim tengkujuh.

Perancangan sebegitu membuahkan hasil apabila bencana banjir besar dikekang di sekitar daerah yang ada kaitan dengan Sungai Terengganu.

Dianggarkan dengan terbina rangkaian tiga empangan di Hulu Terengganu, kerugian harta benda penduduk dan kerugian infrastruktur Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akibat banjir yang boleh dielakkan di Kuala Berang berjumlah kira-kira RM6.4 juta (tidak termasuk kerugian ekonomi).

Data itu mencerminkan betapa penting dan kritikalnya pelbagai peranan yang dimainkan empangan kepada orang ramai.

Walaupun hanya lima peratus tenaga elektrik di Semenanjung dijana menggunakan kaedah hidro, (53 peratus arang batu); (42 peratus gas asli); peranan sebenar empangan hidro sebenarnya jauh lebih bernilai dengan mengambil kira aspek strategik dan manfaat ekonomi secara keseluruhan.

Sejajar manfaat yang diraih daripada empangan seperti yang diperoleh Terengganu, cadangan pembinaan empangan di Sungai Nenggiri, Hulu Kelantan umpamanya difahamkan semakin mendapat maklum balas positif daripada kerajaan negeri.

Pelepasan air yang melalui proses penjanaan elektrik di Empangan Tembat disalurkan ke Tasik Puah.

Ketiadaan empangan besar di Kelantan dikatakan antara penyebab negeri itu terus menerima banjir besar termasuk pada tahun ini.

Justeru, menyedari peranan besar dimainkan empangan, usaha bersungguh-sungguh mengurus dan memulihara kawasan tadahan adalah penting dalam memastikan kemapanan sistem empangan untuk generasi masa depan.

Langkah strategik perlu diambil untuk mengawal pembangunan atau penggunaan tanah di kawasan tadahan (huluan), supaya tidak mengakibatkan hakisan tanah dan pemendapan sehingga menjejaskan kegiatan ekonomi dan potensi yang boleh dimanfaatkan oleh empangan hidro.

Untuk memastikan kawasan tadahan terpelihara, TNB turut mengambil langkah di beberapa kawasan empangan dengan menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Tasik dan Kawasan Tadahan.

Antara kawasan yang mana jawatankuasa itu merekodkan keberkesanan tertinggi adalah di Kawasan Tadahan Pergau, Ulu Kelantan. Justeru, jawatankuasa sama wajar ada di Hulu Terengganu, Perak dan Pahang sebagai pendekatan strategik masa depan.

Air dijana daripada empangan Puah dan Tembat mengalir ke Tasik Kenyir dan membentuk Skim Stesen-Stesen Janakuasa Kenyir.

Pengalaman getir di Cameron Highlands, Pahang yang turut dilanda banjir besar pada 2014 apabila banyak pihak menanggung kerugian yang bukan sedikit, berikutan terjejasnya kawasan tadahan Lembah Bertam, wajar menjadi teladan. Keladak daripada kegiatan pertanian dan pembalakan di kawasan tadahan, mengalir masuk ke empangan menyebabkannya menjadi cetek.

Loji hidro tidak boleh beroperasi 24 jam sehari kerana bergantung kepada jumlah air yang ada untuk tujuan penjanaan.

Sekiranya ia beroperasi berterusan 24 jam sehari, kandungan takungan empangan akan merosot dan ia tidak dapat memenuhi fungsi kritikal lain, seperti membekalkan air mentah dan pengairan.

Justeru, TNB dan kerajaan negeri di mana terdapat empangan hidro, perlu memainkan peranan memastikan bekalan air empangan dapat dipertahankan pada jumlah mencukupi, bukan sahaja untuk menjana elektrik, tetapi juga memainkan peranannya yang lain seperti mengawal banjir, pengairan dan pembekalan air minuman.

Berita Harian X