Isnin, 30 Disember 2019 | 9:50pm
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad (kiri) menunjukkan buku laporan prestasi tahunan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) 2019 ketika sidang media mengenai Kejayaan Utama KWP dan Agensi 2019 di Menara Seri Wilayah, Putrajaya, hari ini. Turut sama Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Rosida Jaafar. - Foto BERNAMA

Pelan pewartaan KL antara pencapaian Kementerian Wilayah Persekutuan

PUTRAJAYA: Pelan pewartaan Kuala Lumpur bagi 2020 antara kejayaan utama dicapai oleh Kementerian Wilayah Persekutuan, tahun ini.

Menterinya, Khalid Abd Samad, berkata pelan berkenaan akan memberi jaminan kepada pembangunan terancang, seterusnya menyelesaikan pelbagai masalah berbangkit di ibu kota.

Katanya, selepas berjaya mencapai pelan pewartaan untuk 2020, pihaknya kini giat untuk membuat pewartaan bagi 2040 pula.

“Ini selalu jadi masalah kita, bila pembangunan tidak mengikut pelan yang ditetapkan. Sekarang ini kita lakukan lebih tersusun dengan wartakan pelan berkenaan.

“Seterusnya kita sedang mengadakan kajian masalah lalu lintas serta kaedah penyelesaian sedang dilaksanakan serentak dengan kajian Draf Pembangunan Bandaraya Kuala Lumpur 2040.

“Kejayaan ini bukanlah akan dapat terus dicapai oleh warga kota, namun apabila semua yang dirancang ini diikuti, ia sudah semestinya memberi manfaat kepada masyarakat.

Beliau berkata demikian dalam sidang media mengenai pencapaian Kementerian Wilayah Persekutuan bagi 2019 di kementeriannya, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Khalid berkata beliau akan mencadangkan kepada kerajaan supaya setiap kertas Kabinet yang dibentangkan pada hari berkenaan tidak boleh diluluskan segera kecuali isu penting.

Beliau berkata, hal berkenaan dapat mengelak kekeliruan serta isu seperti pemansuhan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) bagi penjawat awam 33 Skim Perkhidmatan Kritikal yang baru dilantik tidak berulang.

"Selalunya bila kita terima kertas cadangan Kabinet itu ia akan mengambil masa dua minggu sebelum dapat dibincangkan.

"Bagi isu pemansuhan BIPK, hari ini kita nak bermesyuarat, pagi itu kita terima kertas berkaitan pemansuhan. Tetapi isu berkenaan juga ada di bahagian belakang sekali.

"Tajuk muka depan itu mengenai penyelarasan elaun dan kita akui tidak sempat untuk meneliti keseluruhan kertas yang diberikan itu dan ia hanya diluluskan begitu saja," katanya.

Khalid berkata, BIPK itu diluluskan pada Julai lalu dan bukannya akan dikuat kuasa serta-merta, jadi ia tidak perlu dibincangkan secara tergesa-gesa.

"Sepatutnya boleh tunggu untuk bermesyuarat dua minggu kemudian. Tidak perlu kita terima kertas itu pada hari yang sama kita nak bincangkan. Saya tidak kata ada sabotaj, cuma ia tidak adil kepada menteri," katanya.

Jabatan Perkhidmatan Awam menerusi pekelilingnya yang dikeluarkan minggu lalu mengumumkan bakal memansuhkan lapan elaun bermula tahun depan antaranya BIPK, Bayaran Insentif Angkat Najis, Bayaran Insentif Menaip Jawi, Elaun Keraian kepada Setiausaha Sulit dan Setiausaha Sulit Kanan serta beberapa elaun lagi.

Berita Harian X