Selasa, 31 Disember 2019 | 9:00am

Dasar, peraturan baharu berkuat kuasa 1 Januari 2020

KUALA LUMPUR: Beberapa program dan peraturan baru akan dikuat kuasa bermula 1 Januari 2020, termasuk program bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Setiap keputusan dibuat diteliti sebaik mungkin serta mengambil kira kemampuan kewangan kerajaan.

Antaranya ialah:

1. Larangan merokok di restoran dan premis makanan tetap.

Larangan berkuat kuasa Januari dengan saman dikeluarkan serta pendakwaan di mahkamah.

2. Pengecualian visa pelancong China & India.

Pengecualian selama setahun dengan tempoh lawatan terhad kepada 15 hari tanpa tempoh lanjutan.

3. Cukai 30 peratus golongan berpendapatan RM2 juta.

Kira-kira 2,000 golongan berpendapatan RM2 juta setahun dikenakan cukai pada kadar 30 peratus, berbanding 20 peratus ketika ini.

4. Gaji minimum RM1,200 sebulan.

Dilaksana di 57 bandar utama seluruh negara.

5. Larangan penggunaan straw.

Larangan tidak membabitkan orang ramai, sebaliknya peniaga dan pengusaha kedai memiliki lesen perniagaan.

6. Dakwa syarikat terbabit rasuah.

Seksyen 17A Akta SPRM 2009 dikuat kuasa pada Jun, membolehkan syarikat terbabit amalan rasuah didakwa di mahkamah.

7. Kutipan cukai digital.

Penyedia perkhidmatan digital asing berdaftar dengan Kastam bagi memudahkan kutipan cukai perkhidmatan enam peratus.

8. Cukai petak ganti cukai tanah.

Pelaksanaannya menggantikan cukai tanah ke atas setiap hak milik strata di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

9. Wajib guna CRS, tali pinggang keledar.

Peraturan mewajibkan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS), tali pinggang keledar pemandu dan penumpang kenderaan biasa serta bas bagi menjamin keselamatan penumpang, kanak-kanak.

10. Projek perintis syarikat e-hailing motosikal.

Syarikat e-hailing motosikal seperti Gojek Indonesia dan produk tempatan, Dego Ride dibenarkan beroperasi.

11. Levi pekerja asing pelbagai sektor.

Pelaksanaan mengambil kira aspek integrasi data serta kesediaan pihak kerajaan dan majikan di bawah sektor formal, khususnya pertanian dan pembuatan

12. Nilai ambang kediaman pemilikan asing dikurangkan.

Nilai ambang RM1 juta turun kepada RM600,000 untuk pemilikan asing kondominium dan pangsapuri berkuat kuasa 1 Januari hingga 31 Disember 2020.

13. Sarapan Pagi Percuma (PSP) kepada murid.

PSP fasa pertama membabitkan 100 sekolah, iaitu 37,000 murid dan 1,600 guru dengan keutamaan kepada golongan B40 di semua jenis sekolah.

14. Program e-Tunai Rakyat.

Sebanyak RM30 yang akan dimasukkan ke dalam akaun e-dompet bermula 15 Januari, babitkan tiga penyedia e-dompet utama negara, Touch ‘n Go eWallet, Boost dan GrabPay.

15. Petrol RON95 berkualiti tinggi.

Petrol berkualiti setanding RON97, EURO4M (E4M) diperkenalkan di stesen minyak seluruh negara menggantikan standard E2.

16. Skim Perumahan Belia dilanjutkan.

Skim menawarkan jaminan pinjaman 10 peratus melalui Cagamas dilanjutkan selama dua tahun sehingga 31 Disember 2021 bagi membantu belia memiliki rumah pertama.

17. Caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pekerja kontrak, penggiat seni.

Skim secara sukarela bagi pekerja dalam industri seni dan hiburan melalui kerjasama KWSP dan FINAS.

18. SKSPS Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) diperluas.

Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) PERKESO diperluas membabitkan 18 kumpulan bekerja sendiri seperti nelayan, petani, pemilik tunggal dan perkongsian.

19. Pemansuhan aliran sains dan sastera tingkatan empat.

Pelajar tidak lagi dibahagikan atau dibezakan mengikut aliran sastera dan sains, sebaliknya dibenar memilih subjek mengikut minatnya.

20. Air percuma di Sarawak dan Selangor.

Setiap isi rumah di Sarawak menikmati air percuma bagi RM5 pertama bil air domestik sementara di Selangor, membabitkan penduduk dengan pendapatan isi rumah RM4,000 dan ke bawah saja.

21. RFID di plaza tol, lebuh raya.

Dilaksana di 62 plaza tol, lebuh raya sistem tol terbuka bagi kenderaan kelas satu.

22. Suntikan Pneumococcal kepada bayi.

Pemberian suntikan Pneumococcal secara percuma kepada semua bayi baru lahir membabitkan kos permulaan RM60 juta.

23. Tol di Jambatan Kedua Pulau Pinang dikurangkan.

Untuk kereta persendirian daripada kadar sekarang RM8.50 kepada RM7.00

24. Kenaikan elaun anggota RELA

RELA menikmati kenaikan elaun sebanyak RM2 sejam membabitkan jumlah peruntukan tambahan RM26 juta.

25. Program Back for Good (B4G)

Pendatang asing ingkar akan diburu menerusi operasi besar-besaran Jabatan Imigresen bermula Januari.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X