Selasa, 31 Disember 2019 | 9:04pm
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Penerima dana 1MDB degil didakwa

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mula mendakwa di mahkamah individu serta entiti yang dikompaun sebelum ini untuk memulangkan semula dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), mulai minggu depan.

SPRM pada Oktober lalu dilaporkan sudah mengeluarkan notis kompaun kepada 80 individu dan entiti yang didakwa menerima dana daripada 1MDB untuk mereka membayar denda, iaitu mengikut jumlah wang diterima atau hingga 2.5 kali daripada jumlah terbabit.

Difahamkan pendakwaan mengikut Seksyen 92(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001) akan dibuat terhadap individu dan entiti yang gagal untuk bekerjasama dan tidak mahu memulangkan semula dana yang dinyatakan SPRM.

BHdifahamkan antara mereka yang terbabit dipercayai termasuk beberapa pemimpin parti politik.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, berkata tindakan yang dilakukan agensi penguatkuasaan itu dilakukan berikutan individu/entiti terbabit enggan memulangkan dana itu seperti yang sudah diumumkan Oktober lalu.

“Kita mahu mereka bekerjasama dan memulangkan wang itu, tetapi setakat ini mereka ini tidak mahu berbuat demikian, oleh yang demikian, mulai minggu depan kita akan memulakan pendakwaan di mahkamah.

“Saya boleh sahkan lebih seorang pemimpin politik dalam senarai yang dikeluarkan SPRM tidak mahu bertindak sedemikian,” katanya dalam temubual eksklusif dengan BH di pejabatnya semalam.

Dalam temu bual itu, Latheefa menjelaskan antara fokus utama agensi itu pada 2020 adalah memperoleh semula wang dan dana yang diseleweng untuk disalurkan kepada pembangunan negara.

“Dua tahun ini kita dikejutkan dengan penyelewengan membabitkan berbilion ringgit wang rakyat dan pendakwaan terhadap salah laku itu sedang berjalan.

“Namun begitu, harapan utama saya adalah tidak lagi mahu perkara serupa berlaku dan disebabkan itu, kita memfokuskan untuk memperoleh semula wang berkenaan. Wang itu akan disalurkan kepada kerajaan,” katanya.

Oktober lalu, Latheefa dalam sidang media menjelaskan SPRM mengeluarkan notis kompaun mengikut AMLATFPUAA 2001 membabitkan 80 individu dan entiti dengan jumlah dana keseluruhan sebanyak RM420 juta, yang terendah RM100,000 dan terbanyak RM134 juta.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki selepas itu menjelaskan, hanya lapan daripada 80 individu dan entiti yang menerima notis kompaun setuju membayar kompaun dan 40 peratus daripada mereka pula mahu mengambil tindakan mahkamah terhadap SPRM, manakala 45 peratus lagi menghantar surat rayuan, tiga individu pula tidak mahu menerima notis kompaun.

Berita Harian X