Rabu, 1 Januari 2020 | 1:24pm
TIMBALAN Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. NSTP/Nurul Shafina Jemenon.
TIMBALAN Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. NSTP/Nurul Shafina Jemenon.

Batalkan pengecualian visa kepada pelancong China, India - PAS

KUALA LUMPUR: PAS mendesak kerajaan membatalkan pengecualian visa selama setahun bagi pelancong dari India dan China, selagi pelbagai isu termasuk lambakan pelancong dua negara berkenaan yang bermastautin di negara ini gagal diselesaikan.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata perkara utama yang perlu diselesaikan adalah penyelesaian isu lebih 95 peratus pelancong China dan India yang tiada rekod tarikh keluar antara 2016 hingga 2018.

Jumlah sebenar yang didedahkan oleh Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) ialah melebihi 115,000 orang.

Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 2 juga mendapati kira-kira 1.26 juta warga China dan 296,000 warga India sedang diproses secara manual di bawah MyIMMs.

“Lambakan pelancong warga China dan India yang bermastautin di negara ini mesti diselesaikan segera.

“Isu keselamatan menjadi keutamaan berbanding sasaran pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2020. Pengecualian visa yang diberikan khusus kepada pelancong warga China dan India pada 2016 dan 2017 perlu dihentikan supaya isu pemastautinan mereka diselesaikan segera,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, keselamatan negara harus diutamakan ketika masih banyak isu seperti sindiket penjualan dan pemalsuan MyKad, tangkapan hampir 1,000 warga China yang terbabit dengan ‘scam online’, penurunan had ambang pemilikan hartanah warga asing dan lambakan pendatang asing tanpa izin.

Tegasnya, parti itu mahu kerajaan tidak berkompromi dan mengambil mudah dengan kemasukan warga asing di negara ini.

“Masalah kritikal yang dihadapi ialah wujud kelemahan yang serius dalam pelaksanaan Sistem Maklumat Pendaftaran Pelancong Elektronik (eNTRI) dan juga MyIMMs ketika pemprosesan di pintu masuk pelancong.

“Meskipun banyak syarat yang perlu dipatuhi, namun isu yang dihadapi selama ini lebih besar. PAS mahu pengecualian visa 2020 dibatalkan selagi mana isu itu masih belum diselesaikan,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pengecualian visa selama setahun dengan tempoh lawatan terhad kepada 15 hari tanpa tempoh lanjutan, bagi pelancong dari India dan China, mulai hari ini.

Menurut Warta Kerajaan bertarikh 26 Disember lalu, pelancong dari China dan India perlu berdaftar dalam sistem dan maklumat perjalanan elektronik disediakan Imigresen seperti tertakluk mengikut Subseksyen 2(1) Akta Pasport 1966.

Pelancong perlu melakukan perjalanan ke Malaysia dalam tempoh tiga bulan selepas berdaftar dalam sistem pendaftaran dan maklumat perjalanan elektronik itu.

Berita Harian X