Rabu, 1 Januari 2020 | 5:30pm
PENGARAH Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus (kiri) berbual bersama pelanggan dalam Ops Larangan Merokok di Kuala Terengganu, hari ini. - Foto Zatul Iffah Zolkiply
PENGARAH Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus (kiri) berbual bersama pelanggan dalam Ops Larangan Merokok di Kuala Terengganu, hari ini. - Foto Zatul Iffah Zolkiply

'Papan tanda larangan merokok belum siap'

KUALA TERENGGANU: Papan tanda ditempah belum siap, papan tanda jatuh dan tidak tahu penguatkuasaan bermula hari ini antara alasan segelintir pengusaha restoran dan kedai makan ketika Ops Larangan Merokok di sekitar bandar raya ini, hari ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, ia hanya alasan untuk melepaskan diri daripada dikenakan tindakan saman sedangkan mereka sudah diberikan tempoh selama satu tahun untuk meletakkan papan tanda larangan merokok di premis masing-masing.

“Bila kita tanya, mereka dakwa papan tanda yang ditempah tidak siap lagi, selain ada yang memberi alasan papan tanda dipasang sebelum ini jatuh dan rosak sehingga terpaksa menempah papan tanda baharu.

“Alasan tidak tahu penguatkuasaan bermula hari ini tidak munasabah kerana kita sudah turun padang menjalankan pendidikan, mendekati mereka untuk memberi penjelasan selain peringatan kepada pemilik premis.

“Dalam tempoh itu, mana-mana pemilik premis yang gagal meletakkan papan tanda larangan merokok diberi amaran dan mereka sepatutnya sedia maklum mengenai penguatkuasaan yang bermula hari ini,” katanya ketika ditemui dalam Ops Larangan Merokok di sini, hari ini.

Dr Nor Azimi berkata, dua peniaga disaman mengikut Akta Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018, Seksyen 36 Akta Makanan 1983 selepas didapati gagal mempamerkan tanda larangan merokok di premis masing-masing.

“Mereka boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau tidak melebihi enam bulan penjara, jika sabit kesalahan.

“Mereka yang dikenakan notis saman perlu memasang segera papan tanda larangan merokok itu dan jika dikesan membuat kesalahan sama sekali lagi, saman akan dikeluarkan,” katanya.

Berita Harian X