Khamis, 2 Januari 2020 | 3:56pm
PENGHASILAN sampah harian dalam kalangan rakyat di negara ini mencatat peningkatan 100.75 peratus kepada 38,142 tan pada tahun 2018, berbanding 19,000 tan pada 2005.
PENGHASILAN sampah harian dalam kalangan rakyat di negara ini mencatat peningkatan 100.75 peratus kepada 38,142 tan pada tahun 2018, berbanding 19,000 tan pada 2005.

Pembuangan sampah negara meningkat 100.75 peratus

KUALA LUMPUR: Penghasilan sampah harian dalam kalangan rakyat di negara ini mencatat peningkatan 100.75 peratus kepada 38,142 tan pada tahun 2018, berbanding 19,000 tan pada 2005.

Berdasarkan angka dikeluarkan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), seorang rakyat dianggar menghasilkan 1.17 kilogram (kg) sampah sehari pada 2018, berbanding 0.8kg (2005).

Berdasarkan laporan sama, peratusan sisa plastik direkodkan meningkat 20 peratus pada 2018, berbanding 44.5 peratus daripada keseluruhan sampah adalah sisa makanan, manakala sisa plastik (13.2 peratus) dan lampin pakai buang (12.1 peratus), pada 2005.

Pengerusi Majlis Penasihat Pengguna Negara, Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata kadar kitar semula di negara ini juga direkodkan pada tahap rendah iaitu 28 peratus dan sasaran ditingkatkan kepada 30 peratus pada tahun ini.

Beliau berkata, kerajaan berbelanja jutaan ringgit untuk menangani sikap rakyat yang gemar membuang sampah tanpa mempedulikan kesannya kepada kualiti kehidupan, selain memperuntukkan RM200,000 sebulan hanya bagi kerja pengurusan sampah di kawasan tidak dibenarkan di sekitar Kuala Lumpur.

“Persoalannya, adakah Malaysia akan menuju kepada status negara sampah, jika pengguna tidak sedar sisa buangan akan menjejaskan kualiti kehidupan jika tidak diurus dengan baik.

“Negara akan menjadi longgokan sampah, jika sikap rakyat tidak diperbetulkan segera. Jadi, semua pihak perlu bekerjasama untuk merealisasikan agenda ‘Malaysia Negara Bersih’,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn Bhd, Datuk Mohd Zain Hassan, memaklumkan empat tan sampah dikutip di sekitar Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), manakala 2.5 tan di Bukit Bintang dan Dataran Merdeka (2.5 tan), selepas sambutan Tahun Baharu 2020.

Seramai 100 orang termasuk pekerja am, pemandu dan penyelia Alam Flora membabitkan 10 unit jentera kompaktor serta pembersihan dilapor bertugas membersihkan sampah sarap itu selama lapan jam.

Sementara itu, Mohd Azmi berkata, pihaknya kesal dengan sikap masyarakat suka membuang sampah merata-rata, terutama di lokasi tumpuan sekitar ibu kota PADA sambutan Tahun Baharu 2020, malam kelmarin.

“Ini antara pendidikan pengguna sangat penting untuk diterapkan, ketika rungutan kerap didengari mengenai kos sara hidup, tetapi budaya pengotor dan menghasilkan sampah serta membazir terus berleluasa.

“Sampah akan membebankan masyarakat, termasuk kos kesihatan. Rakyat masih lembap dalam melihat isu sampah sebagai sesuatu sangat serius, selain tidak mengendahkan untuk mengasingkan sisa buangan,” katanya.

Berita Harian X