X
Khamis, 2 Januari 2020 | 9:37pm
Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock (kanan). - NSTP/Halim Salleh
Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock (kanan). - NSTP/Halim Salleh

Legasi Dr Maszlee perlu diteruskan - NUTP

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) meminta Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mempertimbangkan dan meneruskan usaha Menteri Pendidikan, Maszlee Malik, meningkatkan taraf pendidikan negara.

Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock, berkata guru di negara ini masih memerlukan penyelesaian dalam isu berkaitan, antaranya beban kerja guru yang tidak relevan, kemelut pendidikan latihan teknikal dan vokasional (TVET) serta golongan kelainan upaya (OKU).

“Merujuk kenyataan yang diumumkan Menteri Pendidikan mengenai peletakan jawatannya, NUTP amat dukacita dengan keputusan itu dan pada masa sama, mengucapkan terima kasih atas komitmen beliau semasa menerajui Kementerian Pendidikan.

“NUTP melihat kesungguhan beliau sebagai akademia untuk memperbaiki dan menambah baik sistem pendidikan negara, malah Kementerian Pendidikan sanggup menjadikan NUTP sebagai rakan strategik dan bukan seteru,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Maszlee, dalam satu sidang media khas di Putrajaya petang tadi, mengumumkan beliau mengambil keputusan meletak jawatan sebagai Menteri Pendidikan, berkuat kuasa esok, selepas mendapat nasihat Dr Mahathir pada pertemuan hari ini.

Harry Tan menjelaskan, sepanjang Maszlee menerajui Kementerian Pendidikan , pelbagai usaha dilaksanakan seperti membaik pulih sekolah daif, mengurangkan rasuah di kementerian dan menyediakan jaringan internet yang cepat untuk kegunaan guru.

“NUTP berharap Perdana Menteri dapat mempertimbangkan serta mengambil kira semua perkara supaya dapat menjaga institusi pendidikan negara,” katanya.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan, dalam satu kenyataan, berkata legasi Maszlee sebagai Menteri Pendidikan tidak akan dilupakan.

“Rakan saya Dr Maszlee Malik, baru saja mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pendidikan Malaysia.

“Tanggungjawab besar itu adalah suatu amanah yang amat mencabar untuk sesiapa jua yang memegangnya, kami di PTPTN mengucapkan selamat maju jaya dan sesungguhnya ia bukan pengakhiran, sebaliknya sebuah permulaan baharu.

“Harapan PTPTN adalah supaya Maszlee akan terus menyokong usaha PTPTN menggalakkan penabungan dalam kalangan masyarakat, sekali gus memastikan ‘Pendidikan Untuk Semua’ seperti yang beliau usaha selama ini,” katanya.

Berita Harian X