Jumaat, 3 Januari 2020 | 12:21pm
MOHAMADDIN Ketapi ketika merasmikan kempen melekatkan logo rasmi Tahun Melawat Malaysia 2020 (TM 2020) pada kenderaan anjuran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan Dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC). - Foto NSTP/Salhani Ibrahim
MOHAMADDIN Ketapi ketika merasmikan kempen melekatkan logo rasmi Tahun Melawat Malaysia 2020 (TM 2020) pada kenderaan anjuran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan Dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC). - Foto NSTP/Salhani Ibrahim

Mohamaddin Ketapi tidak bimbang hilang jawatan menteri

KUALA LUMPUR: Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi, tidak bimbang digugurkan sekiranya berlaku rombakan Kabinet.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Lahad Datu menyerahkan kepada Perdana Menteri untuk menentukan masa depannya.

“Jika diminta bekerja, saya akan melakukannya, begitu juga jika diarahkan meletak jawatan, saya tiada masalah berbuat demikian,” katanya.

Beliau ditemui media selepas merasmikan kempen melekatkan logo rasmi Tahun Melawat Malaysia 2020 (TM 2020) pada kenderaan anjuran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan Dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) di sini, hari ini.

Semalam, Dr Maszlee Malik mengumumkan meletak jawatan sebagai Menteri Pendidikan, berkuat hari ini.

Maszlee berkata beliau mengambil keputusan itu selepas mendapat nasihat Dr Mahathir pada pertemuan sebelum itu.

Mengenai laporan media kononnya, beliau antara menteri berprestasi rendah, Mohamaddin berkata soalan itu sepatutnya ditujukan kepada Perdana Menteri.

Katanya, petunjuk prestasi utama (KPI) kementeriannya dalam tempoh enam bulan pertama tahun lalu melebihi 90 peratus.

“Saya akan menumpukan kepada TMM 2020 tanpa perlu memikirkan rombakan Kabinet,” katanya.

Mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, beliau yang juga Ketua Bahagian Parti Warisan Sabah (WARISAN) Lahad Datu yakin calon parti itu boleh memenanginya.

“Insya-Allah WARISAN boleh merampas kerusi itu daripada Barisan Nasional (BN),” katanya.

Berita Harian X