Jumaat, 3 Januari 2020 | 2:46pm
MOHAMADDIN Ketapi (empat, kiri) menunjukkan pelekat kenderaan MATTA pada sebuah kenderaan yang dilancarkan sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020) di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC). - Foto BERNAMA

Sasaran 5 juta pelancong dari China, India

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyasarkan lima juta pelancong dari China dan India melawat negara ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (TM 2020).

Ini susulan pengumuman kerajaan berhubung pengecualian visa selama setahun dengan tempoh lawatan terhad kepada 15 hari tanpa tempoh lanjutan, bagi pelancong kedua-dua negara, mulai 1 Januari lalu.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi, berkata pengecualian visa itu dilihat akan meningkatkan lagi jumlah pelancong dari kedua-dua negara itu.

Katanya, sasaran lima juta pelancong dari dua negara terbabit adalah penambahan 10 peratus daripada jumlah pelancong yang datang ke negara ini pada tahun lalu.

“Pada tahun ini kita menjangkakan seramai empat juta pelancong dari China, manakala sejuta lagi dari India.

“Lebih ramai pelancong masuk, lebih banyak pulangan kita dapat,” katanya kepada media selepas merasmikan kempen melekatkan logo rasmi TMM 2020 anjuran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) di sini, hari ini.

Ketika ditanya mengenai sama ada pengecualian visa ketibaan itu akan menyebabkan masalah pelancong tinggal lebih masa, Mohamaddin berkata, ia tidak mungkin akan berlaku.

“Negara kita mempunyai undang-undang dan juga peraturan yang perlu dipatuhi dan mereka yang melanggarnya akan dikenakan tindakan tegas, ” katanya.

Menurut Warta Kerajaan bertarikh 26 Disember lalu, pelancong dari China dan India perlu berdaftar dalam sistem dan maklumat perjalanan elektronik disediakan Imigresen seperti tertakluk mengikut subseksyen 2(1) Akta Pasport 1966.

Pelancong perlu melakukan perjalanan ke Malaysia dalam tempoh tiga bulan selepas berdaftar dalam sistem pendaftaran dan maklumat perjalanan elektronik itu.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X