Sabtu, 4 Januari 2020 | 3:49pm
TIMBALAN Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh. NSTP/Rasul Azli Samad.
TIMBALAN Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh. NSTP/Rasul Azli Samad.

KPWKM sokong wanita sertai perkhidmatan teksi motosikal

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyokong penyertaan wanita dalam perkhidmatan teksi motosikal seperti Dego Ride.

Timbalan Menterinya, Hannah Yeoh, berkata ia bertepatan dengan keperluan sektor pekerjaan yang memerlukan pembabitan wanita tanpa perbezaan gender, namun keselamatan perlu diutamakan.

“Kalau kita lihat hari ini memang ada banyak pekerjaan yang kaum wanita mahu turut terbabit dan saya rasa tidak ada lagi pekerjaan yang kurang sesuai untuk kaum wanita.

“Yang paling penting, kita perlu pastikan keselamatan penunggang ​​​​​wanita itu dijaga oleh semua pihak,” katanya kepada pemberita selepas melawat fasiliti bilik pengurusan jenazah Masjid Al-Hidayah Kampung Sungai Penchala yang dirasmikan di sini, hari ini.

Yeoh berkata, pihaknya sedia mengadakan sesi dialog bersama kementerian terbabit termasuk Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Belia dan Sukan sekiranya memerlukan maklumat balas dan input daripada pihaknya demi menjamin keselamatan penunggang.

Sementara itu, Yeoh yang juga Ahli Parlimen Segambut berkata, bantuan kerajaan perlu disalurkan kepada semua pihak yang berkeperluan bagi memelihara kebajikan mereka tanpa mengira bangsa dan agama.

“Ini adalah duit rakyat, dipulangkan semula kepada rakyat untuk kebajikan mereka dan saya rasa sudah sampai masa di Malaysia ini, kita tidak lagi melihat kaum ataupun agama. Kalau ada keperluan, duit rakyat mesti disalurkan untuk membantu kebajikan semua,” katanya.

Pada tahun 2018, Yeoh mengumumkan sumbangan daripada Pejabat Parlimen Segambut sebanyak RM25,000 bagi pembinaan bilik pengurusan jenazah di masjid itu selepas mendapat permohonan daripada ahli jawatankuasa masjid dan penduduk setempat.

Fasiliti bilik pengurusan jenazah itu telah dirasmikan Pegawai Penyelaras Kanan Zon 6 Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Mohd Hilmee Omar, disertai Pengerusi Masjid Al-Hidayah, Mazlan Khushairi Khairuddin.

Yeoh turut merakamkan penghargaan bagi pihak kementeriannya, keluarga dan kanak-kanak kurang upaya (OKU) kepada mantan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik atas dasar zero reject policy, yang lebih 10,000 kanak-kanak OKU diterima masuk ke semua sekolah. – BERNAMA

Berita Harian X