Ahad, 5 Januari 2020 | 8:35am
Gambar fail, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar. - Foto Hazreen Mohamad
Gambar fail, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar. - Foto Hazreen Mohamad

PRK Kimanis: BN mahu menang untuk 'temankan' Bung Moktar

KIMANIS: Barisan Nasional (BN) mahu memastikan calonnya memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis bagi ‘menemani’ satu-satunya wakil parti itu dari Sabah di Dewan Rakyat, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata beliau simpati melihat wakil rakyat itu ‘turun naik’ mahkamah hingga menyukarkannya menghadiri persidangan Dewan Rakyat.

“Kita perlukan suara pembangkang yang kuat dari Sabah tetapi sekarang hanya tinggal seorang saja wakil (Datuk Seri Bung Mokhtar Radin). Ketika ini, beliau perlu menguruskan kesnya di mahkamah. Siapa mahu ganti beliau di Parlimen, Kimanis lah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membantu kempen BN di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Batu Enam, di sini malam tadi.

Khairy menegaskan Sabah memerlukan wakil pembangkang yang aktif untuk menyuarakan pelbagai isu berkaitan rakyat dan negeri ini.

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin (dua dari kiri) bersama Ketua UMNO Bahagian Kimanis, Datuk Mohamad Alamin (dua dari kanan) yang diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis di Kimanis Centro di Kimanis. - Foto Malai Rosmah Tuah
Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin (dua dari kiri) bersama Ketua UMNO Bahagian Kimanis, Datuk Mohamad Alamin (dua dari kanan) yang diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis di Kimanis Centro di Kimanis. - Foto Malai Rosmah Tuah

Antaranya isu berkaitan pelaksanaan Lebuh Raya Pan Borneo dan Pas Sementara Sabah (PSS), selain memperjuangkan nasib rakyat yang berdepan kos sara hidup tinggi.

“Mesti ada suara dalam Dewan Rakyat menuntut projek Pan Borneo disiapkan ikut jadual, mempersoalkan PSS kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri dan memperjuangkan masalah rakyat. Kita perlukan suara pembangkang yang kuat,” katanya.

Katanya, calon BN, Datuk Mohamad Alamin memenuhi ciri-ciri pemimpin dikehendaki parti itu untuk membawa suara rakyat Sabah di Parlimen.

“Kita mahu pilih wakil rakyat yang boleh berkhidmat untuk rakyat. Calon kita semua orang di sini kenal, dia berpengalaman, berpendidikan dan pernah jadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan.

“Calon kita masih muda lagi, ada tenaga. Beliau tegas, petah bercakap dan sentiasa memperjuangkan hak serta nasib rakyat di Sabah,” katanya.

Sementara itu, Mohamad dalam ceramah ringkasnya di lokasi sama mengakui BN tidak mampu kembali menjadi kerajaan walaupun beliau memenangi Parlimen Kimanis pada PRK itu.

“Saya sedar kalau menang pun tidak ubah kerajaan tapi saya janji bawa suara Sabah dan Kimanis. Banyak isu, seperti PSS... saya sangat fobia. Nampak sangat Parti Warisan Sabah (WARISAN) tidak membela nasib rakyat Sabah, sebaliknya bela nasib warga asing.

“Saya akan beritahu Azis Jamman (Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman) di Parlimen untuk beri perhatian serius terhadap isu PSS ini,” katanya.

Berita Harian X