Isnin, 6 Januari 2020 | 3:31pm
Kementerian Kesihatan melaksanakan prosedur saringan dan pemantauan di setiap pintu masuk antarabangsa berkuat kuasa serta-merta. - Foto hiasan
Kementerian Kesihatan melaksanakan prosedur saringan dan pemantauan di setiap pintu masuk antarabangsa berkuat kuasa serta-merta. - Foto hiasan

SARS: Saringan di pintu masuk antarabangsa dikuatkuasa serta-merta

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan melaksanakan prosedur saringan dan pemantauan di setiap pintu masuk antarabangsa, berkuat kuasa serta-merta susulan penularan virus selsema yang dilaporkan mempunyai persamaan dengan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS).

Selari langkah pemantauan, semakan penggunaan antiviral di setiap negeri turut dijalankan bagi meneliti kewujudan gejala pneumonia atau jangkitan paru-paru terutama membabitkan individu yang pernah melawat daerah Wuhan, China.

Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan menjelaskan pihaknya kini giat memantau pola kejadian penyakit seperti influenza (ILI) dan Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) di seluruh negara.

“Kita sedang berhubung dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai laporan terbabit, malah penyiasatan masih dilaksanakan pihak berkuasa kesihatan di China dan mereka tidak dapat mengesahkan jenis patogen yang menyebabkan penyakit berkenaan.

“Ada pelbagai punca berpotensi menyebabkan viral pneumonia, kebanyakannya lebih lazim daripada koronavirus (sekumpulan virus yang menyebabkan pelbagai penyakit kepada manusia dan binatang) SARS.

“WHO kini giat memantau kes ini dan sebarang perincian lanjut akan dikemukakan dari semasa ke semasa. Sementara belum memperoleh maklumat mengenai kejadian di China dari WHO, kementerian akan melaksanakan langkah berkaitan.

“Ia termasuk memantau memantau pintu masuk antarabangsa dengan memastikan pengembara yang tiba melalui saringan demam sedia ada dan sekiranya positif, pemeriksaan hendaklah dilakukan semula di pusat kuarantin.

“Sekiranya disyaki menghidap penyakit berjangkit, mereka perlu dirujuk ke pusat kesihatan berhampiran mengikut prosedur saringan demam di pintu masuk antarabangsa sedia ada dan memastikan IPC (kawalan dan pencegahan jangkitan) dipatuhi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pusat perubatan, Gleneagles Pulau Pinang pada Sabtu lalu mengeluarkan memorandum kepada semua petugasnya untuk melaksanakan langkah pencegahan dan pemantauan terhadap pesakit susulan penularan wabak pneumonia seperti SARS di China.

Berdasarkan laporan Reuters, China menegaskan wabak pneumonia yang mengorbankan 59 nyawa setakat ini bukan SARS, iaitu punca penyakit sehingga merekodkan ratusan orang terbunuh sedekad lalu.

Suruhanjaya Kesihatan Wuhan berkata wabak itu sudah dipastikan bukan selsema, selsema burung, adenovirus, SARS atau Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS).

Berdasarkan rekod suruhanjaya berkenaan, tujuh daripada 59 pesakit mengalami sakit teruk tetapi tiada yang maut setakat ini, sebaliknya mereka dikuarantin dan sedang menerima rawatan.

Jangkitan terbabit dilaporkan berlaku antara 12 dan 29 Disember, membabitkan beberapa pesakit yang bekerja di pasar makanan laut di Wuhan, yang kini ditutup untuk proses nyah kuman.

Setakat ini, tiada bukti menunjukkan wujud jangkitan dari manusia kepada manusia.

Berita Harian X