Isnin, 6 Januari 2020 | 3:38pm

200 peserta MFLS dipilih jalani latihan di luar negara

KUALA LUMPUR: Seramai 200 peserta Malaysia Future Leaders School (MFLS) akan dipilih menjalani latihan kepemimpinan di negara ASEAN yang dijadualkan bermula bulan depan.

Ia sebahagian daripada latihan Tier Tiga yang disusun di bawah MFLS selama dua bulan bagi peserta terbaik daripada 27,000 peserta dilatih di seluruh negara sejak program itu dilancarkan Mei tahun lalu.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata peserta berkenaan akan turut mendapat pendedahan kepemimpinan khusus daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menteri Kabinet dan pemimpin syarikat korporat.

“Pada masa sama, seramai 100 daripada 200 peserta ini akan dipilih melalui MFLS Go Global iaitu mereka akan dilatih di Jepun dan ada beberapa negara lagi sedang diperhalusi iaitu New Zealand, Australia atau Qatar.

“Kita mahu pastikan apabila menyertai program ini, mereka tidak perlu dipaksa. Mereka mahu dididik dan memperoleh kemahiran untuk menjadi pemimpin masa depan.

“Mereka akan bekerja keras dan bergiat aktif, memberikan soalan dan cadangan, supaya setiap proses dilakukan dengan terbaik,” katanya pada sidang media selepas melihat sesi pemilihan peserta MFLS Tier Tiga di sini, hari ini.

MFLS yang diumumkan pada Disember 2018 bagi menggantikan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Biro Tatanegara (BTN), yang menggabungkan kegiatan ‘indoor’ (dalaman) dan ‘outdoor’ (luaran) berimpak tinggi.

Program itu bertujuan menyerlahkan potensi anak muda sebagai rakan strategik dalam membangunkan negara berpandukan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, MFLS lebih fokus kepada anak muda, tidak berunsur paksaan dan membabitkan semua kaum serta agama.

Mengulas kemampuan peserta MFLS yang menjalani sesi pemilihan hari ini, Syed Saddiq berkata, beliau kagum dengan pengetahuan peserta terutama dalam pengetahuan am, hubungan diplomatik Malaysia dan sejarah negara.

Sementara itu, berhubung laporan kegagalan Malaysia mencapai sasaran pingat pada Sukan SEA Filipina 2019 yang perlu dihantar persatuan sukan selewat-lewatnya Jumaat ini, Syed Saddiq berkata, pihaknya akan melihat laporan itu terlebih dulu dan memahami masalah dihadapi persatuan terbabit.

“Masalah sering dibangkitkan adalah isu dana, tetapi jika kita lihat trend pendanaan daripada 2018 ke 2019, ada peningkatan dan pada 2020, ada penambahan dana yang sangat besar.

“Bagaimanapun, apabila rakyat melihat penambahan ini, tetapi tidak diterjemahkan dari segi kualiti, di situlah masalah dan sebab itu, kita perlu cari jalan bersama untuk memastikan tajaan dana itu dapat diterjemahkan kepada kualiti lebih baik,” katanya.

Syed Saddiq pada sidang media selepas melihat sesi pemilihan peserta MFLS Tier Tiga di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Owee Ah Chun
Syed Saddiq (tiga dari kiri) ketika sesi pemilihan peserta MFLS Tier Tiga. - NSTP/Owee Ah Chun
Berita Harian X