Isnin, 6 Januari 2020 | 4:24pm
Pembayaran fasa pertama BSH 2020 akan dilaksanakan mulai 20 Januari kepada 3.8 juta penerima berdaftar membabitkan peruntukan RM1 bilion. - Arkib NSTP

3.8 juta isi rumah terima BSH 2020 bermula 20 Januari

PUTRAJAYA: Pembayaran fasa pertama Bantuan Sara Hidup (BSH) 2020 akan dilaksanakan mulai 20 Januari ini kepada 3.8 juta penerima berdaftar dalam kategori isi rumah membabitkan peruntukan RM1 bilion.

Ia membabitkan penerima dengan pendapatan bawah RM2,000, RM2,001 hingga RM3,000 serta RM3,001 hingga RM4,000.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata pangkalan data BSH 2019 telah melalui beberapa proses tapisan daripada agensi kerajaan, antaranya status pemilikan kenderaan yang realistik bagi golongan berpendapatan rendah (B40) bagi memastikan mereka yang memerlukan sahaja menerima BSH 2020.

“Pembayaran fasa pertama sebanyak RM300 bagi setiap isi rumah akan dikreditkan terus ke akaun bank masing-masing menggunakan maklumat akaun bank semasa BSH 2019.

“Bagi memastikan program BSH 2020 disasarkan kepada mereka yang benar-benar layak, tempoh permohonan dan pengemaskinian akan dibuka mulai 1 Februari hingga 15 Mac 2020.

“Selain kategori isi rumah, permohonan juga dibuka bagi kategori bujang berumur 40 tahun ke atas seperti diumumkan dalam Belanjawan 2020,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Guan Eng berkata, pemohon tidak perlu membuat permohonan baharu atau mengemaskini maklumat sekiranya permohonan BSH 2019 yang lulus dan tiada sebarang perubahan maklumat dan pemohon orang kurang upaya (OKU) yang tersenarai penerima e-Bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Bagaimanapun, pemohon perlu membuat permohonan baharu atau kemas kini sekiranya belum membuat pendaftaran permohonan BSH (Kategori Baharu); permohonan BSH 2019 yang tidak lulus dan tidak menepati syarat kelayakan BSH 2020 dan OKU yang tidak tersenarai sebagai e-Bantuan JKM dan menepati syarat kelayakan BSH 2020.

“Setelah pangkalan data BSH 2020 dikemaskini, baki pembayaran bagi kategori isi rumah akan disalurkan pada fasa kedua dan ketiga manakala bagi kategori bujang dan OKU akan disalurkan secara ‘one-off’ pada fasa kedua.

“Dengan adanya proses permohonan dan pengemaskinian ini, sebahagian yang tidak lulus dan belum menerima BSH masih diberi ruang mengemukakan permohonan untuk dibuat verifikasi semula,” katanya.

Beliau berkata, penerima BSH di kawasan pedalaman bagi kategori isi rumah yang mempunyai akaun bank akan turut menerima pembayaran pada tarikh sama, manakala bagi penerima pedalaman yang tiada akaun akan dibuat mulai 1 Februari 2020 secara tunai.

maklumat lanjut boleh menghubungi talian bebas tol 1800-88-2747 serta emel kepada [email protected].

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X