Selasa, 7 Januari 2020 | 9:12am
Tamiflu. - Foto AFP
Tamiflu. - Foto AFP

KKM percepat proses permohonan permit import Tamiflu

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) mempercepatkan proses permohonan permit oleh hospital dan klinik swasta untuk mengimport vaksin influenza, Tamiflu, bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata proses permohonan bagi kelulusan permit mengimport vaksin terbabit adalah kurang daripada lima hari.

“Bekalan Tamiflu di KKM diperoleh daripada Pharmaniaga dan mencukupi. Namun bagi hospital dan klinik swasta, mereka perlu mendapatkan permit mengimport vaksin itu. Sejak Januari hingga November tahun lalu, tiada permohonan daripada pihak swasta untuk mengimport Tamiflu.

“Bagaimanapun, pada Disember tahun lalu, permohonan mendapatkan permit mengimport Tamiflu meningkat dan bekalan Tamiflu yang diperoleh daripada pembekal berdaftar, hanya mencukupi untuk kegunaan hospital serta klinik kerajaan.

“Bagi menangani masalah ini, KKM mempercepatkan proses permohonan permit mengimport Tamiflu dan kebanyakan hospital serta klinik swasta yang membuat permohonan permit, hujung tahun lalu, sudah memperoleh bekalan mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham menjelaskan, buat masa ini, pihaknya tiada menerima sebarang maklumat daripada syarikat farmaseutikal berhubung kekurangan vaksin berkenaan.

Beliau berkata, orang awam terutama kumpulan berisiko, iaitu kanak-kanak bawah usia lima tahun, warga tua berumur 65 tahun ke atas dan wanita mengandung, dinasihatkan supaya mendapatkan vaksin itu yang ditawarkan hospital atau klinik swasta.

Berita Harian X