Selasa, 7 Januari 2020 | 1:57pm

Jawatankuasa Aduan akan pantau 20 agensi penguat kuasa

PUTRAJAYA: Kerajaan akan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Aduan (JKA) bagi memantau pengendalian aduan kes-kes salah laku membabitkan 20 agensi penguatkuasaan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, langkah itu diambil berikutan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) dinaik taraf kepada Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang menyiasat kes salah laku membabitkan anggota polis.

Katanya, penubuhan Jawatankuasa Aduan itu juga bagi memastikan pemantauan ke atas 20 agensi penguatkuasaan berkenaan dapat terus dilakukan seiring dengan pemantauan ke atas anggota polis.

“Jawatan kuasa ini akan ditubuhkan secepat mungkin dan dikendalikan satu agensi kerajaan yang akan ditentukan kemudian,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) siri 11 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong; Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Julai lalu, kerajaan membentangkan Rang Undang-undang (RUU) IPCMC 2019 di Dewan Rakyat bertujuan menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bagi meningkatkan integriti dan keupayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

IPCMC akan bertindak sebagai badan pemantau bebas untuk menerima aduan dan menjalankan siasatan terhadap salah laku anggota polis.

Bagaimanapun, pembentangan untuk bacaan kali kedua dan ketiga RUU itu ditangguhkan Disember lalu selepas ia dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang membentangkan 37 pindaan baharu.

Sebanyak 182 kertas kerja berkaitan cadangan dan isu governans, integriti dan anti-rasuah telah dibentangkan dan dimaklumkan dalam mesyuarat JKKMAR dan daripada jumlah itu, sebanyak 47 cadangan dan usul diselesai dan di ambil tindakan.

Mesyuarat itu juga memaklumkan sehingga 31 Disember lalu,sebanyak 22 daripada 115 inisiatif di dalam Pelan Anti-Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023, telah diselesai dilaksanakan termasuk pengisytiharan harta oleh anggota pentadbiran manakala 93 inisiatif pula masih dalam tindakan.

Perdana Menteri turut memaklumkan mesyuarat itu bersetuju memberikan lanjutan tempoh masa setahun kepada agensi peneraju berkaitan untuk melaksanakan inisiatif yang masih belum selesai.

TUN Dr Mahathir Mohamad ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) Siri 11 Bilangan 1 Tahun 2020 dan turut bersama timbalannya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (kanan) dan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed di Bangunan Perdana Putra. - Foto NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
Berita Harian X