Selasa, 7 Januari 2020 | 3:11pm
M Kulasegaran. - Foto NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
M Kulasegaran. - Foto NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

SPPA pekerja Bangladesh diperbaharui selepas digantung sejak September 2019

PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia akan memperbaharui Sistem Permohonan Pekerja Asing (SPPA) untuk pekerja Bangladesh selepas kemasukannya digantung sejak September tahun lalu.

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, berkata kementeriannya akan mengadakan pertemuan dengan Kerajaan Bangladesh bagi membincangkan Memorandum Persefahaman (MoU) itu untuk dikaji semula dalam masa terdekat.

Beliau berkata, perkara yang akan dibincangkan termasuk pelaksanaan mekanisme yang telus membabitkan penyertaan kedua-dua kerajaan serta agensi pengambilan dari kedua-dua negara.

“Kita harap isu ini dapat diselesaikan segera kerana kebanyakan pekerja Bangladesh menjadi mangsa eksploitasi dan berdepan pelbagai masalah selepas datang bekerja ke negara ini,” katanya selepas menghadiri perjumpaan Kementerian Sumber Manusia Bersama Pelanggan di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalannya, Datuk Mahfuz Omar dan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Amir Omar.

Pada 1 September lalu, kerajaan menggantung SPPA untuk pekerja Bangladesh, yang hanya membenarkan proses pengambilan oleh 10 agensi terpilih.

Sistem terdahulu menyaksikan setiap pekerja Bangladesh perlu membayar yuran sehingga RM20,000 bagi proses pembayaran kepada ejen bagi memudahkan kelulusan permit kerja dan urusan lain untuk berkerja di Malaysia.

Kulasegaran berkata, perbincangan dua hala mengenai syarat baharu MoU pengambilan pekerja asing Bangladesh itu bertujuan mengelak pembabitan pihak ketiga yang membuat keuntungan melampau ke atas pekerja berkenaan.

Katanya, MoU baharu itu juga dapat membantu pekerja Bangladesh daripada mengeluarkan perbelanjaan tinggi dan memberi kesan buruk kepada negara dalam mendapatkan khidmat pekerja asing.

“Sebagai contoh kita ambil cara kemasukan pekerja Nepal ke negara ini yang mana yuran untuk proses visa, tiket kapal terbang dan kos lain dibiayai oleh majikan.

“Kita sedang berusaha memperbaharui dasar bagaimana mengendali pengambilan pekerja asing dari Bangladesh dan jumlah pengambilannya akan diumumkan selepas mendapat kelulusan Kabinet,” katanya.

Berita Harian X