Selasa, 7 Januari 2020 | 8:43pm
Menerusi Pelan Pemulihan FELDA, bantuan kewangan berjumlah RM6.23 bilion dalam bentuk geran, pinjaman dan jaminan kerajaan bagi tempoh 2019-2025. - Arkib NSTP

Kertas Putih FELDA banteras penyelewengan

KUALA LUMPUR: Pembentangan Kertas Putih FELDA menjadi antara pencapaian Kementerian Hal Ehwal Ekonomi pada 2019, dalam usaha membanteras penyelewengan, sekali gus membela nasib peneroka FELDA.

Kertas Putih FELDA dibentangkan di Parlimen pada 10 April 2019, setakat ini menyaksikan lapan kes audit forensik dan satu kes saman sivil difailkan serta tujuh kes dalam siasatan untuk tindakan lanjut.

Menerusi Pelan Pemulihan FELDA, bantuan kewangan berjumlah RM6.23 bilion dalam bentuk geran, pinjaman dan jaminan kerajaan bagi tempoh 2019-2025.

Kerajaan juga meluluskan RM250 juta untuk menyelesaikan perumahan generasi kedua FELDA iaitu Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) yang terbengkalai.

Bagi mengurangkan beban peneroka, bantuan sebanyak RM2 bilion diluluskan bagi menghapuskan kadar faedah hutang peneroka, selain melaksanakan sepenuhnya e-Penyata Hutang mulai Disember 2019 dan penyata hutang tanam semula dikeluarkan kepada

3,132 peneroka yang memuktamadkan hutang mereka.

Kerajaan juga meluluskan sejumlah RM480 juta untuk tujuan pembiayaan Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil dan RM2.5 bilion penstrukturan semula pinjaman

Berdasarkan laporan itu, baki pinjaman FELDA dengan institusi kewangan berkurangan kepada RM6.89 bilion sehingga 31 Disember 2019 berbanding RM7.8 bilion pada 2017.

Baki hutang dengan vendor turut berkurangan sebanyak 60 peratus iaitu RM445 juta berbanding RM1.12 bilion pada 2017.

MEA turut memperkasa aktiviti pertanian dan pembangunan pekebun kecil serta tanah berkelompok negara menerusi bantuan pembangunan kawasan tanam semula getah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) berjumlah RM233 juta.

Bantuan tanam semula kepada pekebun kecil adalah bagi mengekalkan kawasan bertanam getah untuk menyokong industri pembuatan produk berasaskan getah dan menyediakan peluang pekerjaan.

Bagi pembangunan inklusif dalam menangani kemiskinan, MEA memperuntukkan sejumlah RM100 juta bagi Program Peningkatan Kapasiti dan Kapabiliti Kumpulan Sasar Khusus dalam kalangan isi rumah B40 membabitkan kira-kira 20,000 penerima.

Selain itu, lebih RM7.64 juta dibelanjakan oleh penerima Kasih Ibu Darul Aman (KIDA) bagi pembelian barangan keperluan asas bernilai RM250 sebulan dan rawatan kesihatan di klinik swasta bernilai RM500 setahun.

Berita Harian X