Rabu, 8 Januari 2020 | 4:40pm

Mesyuarat Kabinet tumpu pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Kabinet pertama bagi tahun 2020 di Putrajaya hari ini menumpukan kepada perbincangan agenda dan perancangan untuk menjayakan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

Perkara itu dikongsikan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Mohd Zuki Ali dalam Instagram beliau hari ini yang turut memaparkan gambar suasana mesyuarat Kabinet berlangsung dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mohd Zuki yang menyertai mesyuarat itu sebagai Setiausaha Jemaah Menteri berkata WKB 2030 memerlukan sokongan padu daripada penjawat awam untuk mencapai wawasan itu.

Beliau turut berkongsi gambar bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta dengan beberapa Menteri.

“Pagi ini saya menghadiri Mesyuarat Kabinet pertama bagi tahun 2020 selaku Setiausaha Jemaah Menteri. Semoga apa juga agenda dan perancangan yang direncanakan kerajaan akan dapat dilaksanakan sebaiknya dengan berkat usaha lebih gigih semua anggota pentadbiran dengan sokongan padu dari seluruh penjawat awam demi mencapai matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” tulisnya.

Mesyuarat Kabinet pertama tahun ini itu menjadi tumpuan berikutan peletakan jawatan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik minggu lalu.

Berita Harian X