Rabu, 8 Januari 2020 | 4:52pm

Rakaman audio: Rosmah berang Najib dilihat macam penjahat

KUALA LUMPUR: Dalam satu rakaman audio yang didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, seorang wanita yang dipercayai Datin Seri Rosmah Mansor berang dengan Datuk Seri Najib Razak.

Rosmah dalam rakaman itu mendakwa Najib lambat bertindak dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sehingga bekas Perdana Menteri itu kelihatan seorang penjahat.

Dalam rakaman itu, Rosmah mendesak Najib mendengar nasihatnya khususnya dalam isu pelantikan Tan Sri Dzulkifli Ahmad sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM menggantikan Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Dzulkifli dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu pada 1 Ogos 2016.

Menerusi rakaman itu Rosmah turut mendakwa Najib dikelilingi orang bodoh sebagai penasihat.

SPRM mendedahkan rakaman audio antara Najib dan Rosmah menerusi panggilan telefon dipercayai berlangsung selama enam minit pada jam 12.46 tengah malam 27 Julai 2016.

Najib: Hi.

Rosmah: Apa cerita? Boleh saya nasihatkan kamu tentang sesuatu?

Najib: Ok, ada apa?

Rosmah: Dengar cakap saya, mereka beritahu kamu untuk henti mengasak (Ketua Pesuruhjaya SPRM) Abu Kassim Mohamed... sekarang Abu Kassim pergi konvensyen bersama Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi), bergambar dengan Pak Lah... dia dilihat sebagai wira, kamu pula penjahat... dan tidak boleh ke lima orang ini melihat kamu sebagai keutamaan bukan orang lain.

Najib: hmm hmm

Rosmah: pastinya Shahlan dah yakin, Tengku dah yakin, Amhari dah yakin... macam kita yang penjahat.

(Shahlan dipercayai merujuk kepada bekas Setiausaha Politik Najib, Datuk Shahlan Ismail), manakala Tengku dipercayai merujuk kepada bekas Setiausaha Akhbar Najib, Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad) dan Amhari dipercayai merujuk kepada bekas Pegawai Khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin.)

Najib: Tidak, tidak, saya sudah benarkan Azwan (dipercayai merujuk kepada bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun), membuat kenyataan, kesannya dah bagus.

Rosmah: Azwan, ok bagus. Hari ini Abu Kassim (di) Berita Harian... ambil gambar dengan Pak Lah lagi. Dan ada muka dia nak berterima kasih kepada Pak Lah dan semua orang lain kecuali kamu. Ini tidak adil.

Najib: Faham

Rosmah: (tidak jelas)

Najib: Saya sudah tandatangani surat pelantikan Dzul (sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu).

Berita Harian pada 27 Julai 2016 melaporkan Abu Kassim berterima kasih kepada Abdullah yang disifatkannya sebagai tokoh penting dengan menukarkan Badan Pencegahan Rasuah (BPR) kepada SPRM.

Selain Abdullah, Majlis Penghargaan Bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM itu turut dihadiri isterinya, Tun Jane Abdullah; bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz; Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz; bekas Speaker Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang serta bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Rakaman audio itu turut mendedahkan Rosmah tidak gembira dengan situasi yang berlaku ketika itu.

“Saya tidak suka ini... sayang, awak adalah Perdana Menteri, awak yang menentukannya, bukan orang lain.. awak dikelilingi orang bodoh yang beri nasihat),” kata Rosmah.

Rosmah turut menggesa Najib mempelawa Ketua Eksekutif Mubadala Development Company (MDC), Khaldoon Al-Mubarak ke rumah mereka dipercayai bagi membincangkan antaranya isu anak tiri Najib, Riza Aziz yang dikaitkan dengan skandal 1MDB.

Riza Aziz adalah juga seorang produser filem Hollywood dan dikaitkan dengan skandal 1MDB termasuk dakwaan menggunakan wang 1MDB untuk menerbitkan sebuah filem, The Wolf of Wall Street yang dibintangi Leonardo DiCaprio.

Rosmah: Mungkin Khaldoon perlu datang sini dan bercakap dengan awak dan Amhari boleh selesaikannya... itu apa yang saya rasalah, bukan menerusi perbualan telefon, ia tidak akan berjaya.

Najib: Kita boleh pelawa dia dan selesaikan masalah ini.

Rosmah: Pelawa dia dan selesaikan masalah ini, bukannya dia tak kenal kita. kalau dah makan minum di rumah kita.

Najib: Itu idea yang baik, kita boleh jemput dia datang

Rosmah: Pada masa yang sama, kita boleh selesaikan masalah Riza, masalah Riza ‘somewhere along the line’, itu aje.

Datin Seri Rosmah Mansor. - NSTP/Asyraf Hamzah
Datin Seri Rosmah Mansor. - NSTP/Asyraf Hamzah

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X