Rabu, 8 Januari 2020 | 8:40pm
Datuk Seri Najib Razak (kiri) dan Tan Sri Dzulkifli Ahmad. - Foto NSTP

Dzulkifli kongsi hasil siasatan dengan Najib - SPRM

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad, dipercayai membocorkan maklumat siasatan pihak berkuasa berhubung skandal SRC International Sdn Bhd (SRC) kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 2016.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, berkata klip audio yang diyakini tulen diterima pihaknya, menunjukkan pada 5 Januari 2016, Dzulkifli yang ketika itu bertugas sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Jabatan Peguam Negara, memberi penjelasan kepada Najib, yang juga antara suspek utama, berhubung hasil siasatan berkaitan SRC.

Berdasarkan rakaman audio itu, Dzulkifli memaklumkan bahawa kandungan kertas siasatan (IP) itu tidak bagus kepada Najib, sekali gus mahu bertemu dengan bekas Perdana Menteri terbabit untuk berbincang lebih lanjut mengenai perkara berkenaan.

Dzulkifli: AG (Peguam Negara ketika itu - Tan Sri Mohamed Apandi Ali) dah terima benda tu (IP) Datuk Seri. Semalam kita terima IP tu, cadangan itu tidak begitu baik. Bila saya tengok, macam nak menangis.

Najib: Macam mana nak babitkan saya pula, saya tak terbabit langsung.

Dzulkifli: Masya-Allah.. Itu saya tak tahulah Datuk Seri. Amat jelas dalam itu Datuk Seri, saya sendiri ada IP itu. Saya diarahkan oleh Peguam Negara untuk bantu dia.

Dalam rakaman itu, Dzulkifli memberi jaminan kepada Najib, bahawa beliau dan Peguam Negara boleh menguruskan perkara terbabit dalam aspek perundangan, namun khuatir terhadap beberapa perkara lain, khususnya jika ia dibocorkan kepada umum.

Dzulkifli: Kita tidak tahu mereka akan bocor atau tidak. Ramai sekarang dah tahu. Panel khas dah lima orang, pegawai penyiasat lagi. Saya rasa lebih daripada 10 orang, hampir 20 orang. Kita nak lindungi macam mana Datuk Seri? Ini agak memeranjatkan juga.

Najib: Maknanya digula-gulakan ni?

Dzulkifli: Ya, sebab maklumat yang saya ada daripada IO (pegawai penyiasat) dalam pertemuan di rumah Tan Sri Gani (bekas AG, Tan Sri Abdul Gani Patail), Abu Kassim (bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed) beritahu AG, ‘Tan Sri buat keputusan untuk tuduh sahajalah. Tan Sri pun nak bersara. Kamu akan dikenang orang ramai selepas ini. Ini perkataan digunakan Tan Sri Abu Kassim kepada Gani Patail. Dulu sebelum Gani Patail dipecat sebagai AG. Kalau Datuk Seri tengok masa itu, kita semua katakan Gani memang jahat. Tapi macam mana benda itu keluar daripada mulut Abu Kassim, seolah-olah dia mulakan benda itu. Sekarang Abu Kassim tak boleh kata dia nak cuci tangan, seperti dia tak terbabit dengan keputusan ini.

Najib: Hmm

Dzulkifli: Yang pelik tu Datuk Seri...tak pernah dalam sejarah SPRM..........

Dalam rakaman audio berasingan pada 17 Januari 2016, Dzulkifli juga memaklumkan maklumat terbaharu siasatan kepada Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, sambil meminta perkembangan kes itu dimaklumkan kepada Najib.

Azeez: Semua terkawal?

Dzulkifli: Sekadar nak beritahu... Khamis lalu, saya sudah sediakan....satu dah siap...tadi baru selesai yang kedua, jadi semua dah siap. Esok kami akan beri taklimat kepada Peguam Negara.

Azeez: (audio kurang jelas)...esok hantar balik?

Dzulkifli: Esok jumpa Tan Sri (Peguam Negara) beri taklimat, tak tahulah kalau dia nak buat keputusan, mungkin kita terpaksa ambil kot, Datuk Seri.

Azeez: Mungkin antara dia nak hantar balik, ok. Dah hantar belah sana, minta...terima kasih, saya tahu awak buat yang terbaik.

Dzulkifli: Tak tahulah Tan Sri cakap apa. Datuk Seri ok?

Azeez: Ok. Dia kata lepas mesyuarat itu, dia nak tolak balik kat diorang. Minta ulasan dalam seminggu, lepas tu dua minggu betullah.

Dzulkifli: Saya dah dua minggu ni tak ada...

Azeez: Terima kasih. Jangan bimbang. Semua itu tercatat.

Dzulkifli: Nanti update Datuk Seri PM ya. Nanti apa-apa saya update you.

Azeez: Terima kasih, nanti apa-apa kita telefon ya.

Dalam rakaman pada 22 Januari 2016 pula, Dzulkfli menghubungi Abdul Azeez sekali lagi bagi memaklumkan individu tambahan yang dikaitkan dengan kes SRC International iaitu bekas Pengarah SRC International, Datuk Suboh Md Yasin; bekas CEO SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil serta dua penanda tangan yang diberi kuasa oleh Ihsan Perdana Sdn Bhd, Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman dan Datuk Abdul Aziz Ismail.

Dzulkifli: Tambah lagi dua. Shamsul, Nik, Suboh, Aziz........

Azeez: Aziz mana?

Dzulkifli: Saya tak ingat...bukan Azeez Rahim lah (ketawa).

Azeez: Ok lah, Rosman (tidak pasti siapa) tak ada, Alhamdulillah, tak ada kena mengena dengan Tabung Haji. Pasti?

Dzulkifli: Pasti!.

Sementara itu, rakaman perbualan pada 26 Februari 2016, mendedahkan bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Najib, Tan Sri Shukry Mohd Salleh, meminta kertas pendakwaan lengkap daripada Dzulkifli.

Shukry: PM (Perdana Menteri) baca soal siasat...yang dana, PM nak fakta lengkap dana pergi ke akaun semua itu.

Dzulkifli: Set lengkap tak ada dekat saya, nak minta dekat SPRM. Kawan kita.

Berita Harian X